Petugas kesihatan di Klinik Selcare, Shah Alam, mengambil sample saringan COVID-19 orang ramai untuk diuji keputusan bagi membasmi penularan wabak COVID-19. FOTO FAIZ ANUAR
Petugas kesihatan di Klinik Selcare, Shah Alam, mengambil sample saringan COVID-19 orang ramai untuk diuji keputusan bagi membasmi penularan wabak COVID-19. FOTO FAIZ ANUAR
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Majikan didapati menyebabkan penularan wabak Covid-19 di tempat kerja wajar dikenakan tindakan tegas termasuk denda.

Ini kerana, kemungkinan wujud faktor kecuaian di dalam memastikan Prosedur Operasi Standard (SOP) sentiasa dipatuhi di tempat kerja.

Ketua Pegawai Operasi Hospital Putra Melaka, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, perkara itu wajar dipertimbangkan kerana sepatutnya majikan perlu memastikan segala SOP dipatuhi tanpa kompromi.

Katanya, berbeza dengan petugas di sektor kesihatan, kes jangkitan dikenal pasti banyak berlaku di tempat kerja dan ia memberikan indikasi bahawa kemungkinan terdapat kecuaian di pihak majikan.

"Saya setuju kalau tindakan diambil kerana Covid-19 pada asalnya boleh dicegah.

"Pengamalan SOP betul seperti digariskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah faktor untuk kita berjaya.

"Namun jika ada pihak yang didapati cuai, mereka wajar didenda kerana merisikokan masyarakat," katanya.

Sementara itu, pakar bagi dasar kesihatan awam Dr Khor Swee Kheng berkata, tindakan tegas dan saksama perlu diambil pihak berkuasa terhadap majikan yang tidak mengikut undang-undang negara susulan penularan wabak ini.

Beliau berkata, peraturan sedia ada sudah termaktub sejak sekian lama dan ia mesti dipatuhi majikan serta syarikat di Malaysia tanpa mengira saiz, lokasi atau sektor aktiviti.

"Penguatkuasaan undang-undang yang saksama akan membantu mengurangkan penularan wabak Covid.

"Lebih-lebih lagi apabila banyak kluster di Malaysia dilaporkan berpunca daripada sektor ekonomi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 January 2021 @ 5:17 PM