Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Keputusan kerajaan melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 2.0) bagi tempoh dua minggu lagi hingga 18 Februari adalah tindakan wajar.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Jabatan Kesihatan Masyarakat, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr Azmawati Mohammed Nawi berkata, ini disebabkan jumlah kes Covid-19 masih tinggi.

Beliau berkata, kemungkinan untuk kes baharu dilandaikan dilihat tidak dalam peratusan yang tinggi untuk tempoh terdekat.

"PKP 2.0 dilanjutkan adalah keputusan wajar kerana kes positif Covid-19 yang masih tinggi. Untuk berlakunya pengulangan perintah seumpamanya berkali-kali seperti tahun lalu mungkin boleh berlaku, ini kerana, ia bergantung kepada angka kes serta kluster.

"Biasanya trend akan dikaji untuk keputusan penyambungan atau perubahan perintah. Saya merasakan keputusan untuk penyambungan amatlah berat untuk diputuskan kerana banyak peringkat dan pihak yang perlu difikirkan," katanya dihubungi Harian Metro hari ini.

Menurut Azmawati, model ramalan oleh pelbagai pakar berkaitan juga menunjukkan, untuk melandaikan kes dalam tempoh dua minggu ini adalah sesuatu yang mungkin sukar kerana masih ramai individu yang perlu disaring.

Mengulas lanjut, katanya, saringan Covid-19 dilakukan secara meluas boleh mengakibatkan jumlah kes yang dikesan terus meningkat.

"Namun, jika pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dapat dipatuhi semua pihak, mungkin peratusan kes baharu menjunam boleh dicapai dan inilah yang kita harapkan," katanya.

ANGGOTA polis melakukan sekatan jalan raya susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 di Jalan Tun H S Lee. FOTO ASWADI ALIAS.
ANGGOTA polis melakukan sekatan jalan raya susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 di Jalan Tun H S Lee. FOTO ASWADI ALIAS.

Kelmarin, kerajaan mengumumkan PKP 2.0 yang dijadualkan berakhir hari ini (4 Februari) dilanjutkan sehingga 18 Februari depan.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, PKP 2.0 berbeza dengan PKP kali pertama yang dilaksanakan tahun lalu yang mana ketika itu, kerajaan melaksanakan sekatan pergerakan sepenuhnya.

"Bagi PKP 2.0, sektor perniagaan dan ekonomi sudah dibenarkan beroperasi dengan SOP yang sangat ketat," katanya.

Untuk rekod, kes baharu Covid-19 kebelakangan ini kekal empat angka malah pernah melepasi 5,000 kes tiga hari berturut-turut iaitu pada 29 Januari (5,725), 30 Januari (5,728) dan 31 Januari (5,298).

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Februari 2021 @ 3:15 PM