GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Kapasiti katil untuk pesakit Covid-19 termasuk di unit rawatan rapi (ICU) hospital seluruh negeri masih mencukupi walaupun berlaku peningkatan kes.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, kadar penggunaan katil yang dikhaskan untuk pesakit Covid-19 adalah 218 unit atau sebanyak 50 peratus.

Katanya, bekalan oksigen juga mencukupi dan masih mampu untuk kegunaan pesakit yang memerlukan bantuan pernafasan.

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyediakan sebanyak 436 katil yang dikhaskan untuk merawat kes Covid-19, masing-masing 236 unit di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Hospital Setiu (76) dan Hospital Hulu Terengganu (124).

"Setakat ini kadar penggunaan katil untuk pesakit Covid-19 hanya 50 peratus atau sebanyak 218 unit, walaupun berlaku peningkatan kes," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas mengenai peningkatan kes positif Covid-19 di negeri ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Tunggal itu berkata, sebanyak 437 kes positif membabitkan lapan kematian dilaporkan sehingga 12 tengah malam semalam.

Katanya, daerah Dungun masih mencatatkan kes tertinggi iaitu sebanyak 1,042 kes diikuti Kemaman (1,010), Kuala Terengganu (468), Marang (178), Kuala Nerus (177), Hulu Terengganu (153), Besut (114) dan 104 kes di daerah Setiu.

"Kes penularan tempatan masih mencatatkan kes tertinggi iaitu sebanyak 405 kes, kes import B (15), kes import C (lapan) dan sembilan kes Orang Kena Tuduh (OKT)," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Julai 2021 @ 3:57 PM