GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Faizul Azlan Razak


Kuala Terengganu: Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) menyarankan orang ramai terutama golongan berisiko seperti warga emas mendapatkan dos tambahan vaksin Covid-19.

Pengarah Kesihatan Terengganu, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, orang ramai boleh mendapatkan dos vaksin melalui kaedah temujanji menerusi panggilan telefon, temujanji melalui aplikasi MySejahtera dan secara walk-in ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) klinik kesihatan.

Menurutnya, bagi tempoh hari ini dan esok, terdapat 15 klinik kesihatan iaitu tujuh di Dungun, dua di Marang dan masing-masing satu di Hulu Terengganu, Besut, Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu serta Kemaman menyediakan khidmat itu.

"Bagaimanapun, mulai Ahad ini, orang ramai boleh mendapatkan vaksin di semua 52 klinik kesihatan di seluruh Terengganu.

"Selain itu, Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Hospital Kemaman, Hospital Dungun, Hospital Setiu, Hospital Hulu Terengganu dan Hospital Besut turut menjadi PPV," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Menurutnya, pengambilan vaksin Covid19 turut diwar-warkan dalam Facebook dan orang ramai boleh menghubungi Bilik Gerakan Imunisasi Covid19 seluruh Terengganu bagi mendapatkan maklumat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Disember 2023 @ 2:08 PM