Siti Rohana Idris

Rantau Panjang: Selepas 10 hari dinaiki air sehingga paras 2.5 meter, pos kawalan digunakan Pasukan Gerakan Am (PGA) iaitu Pos Ibrahim Pencen, di sini, kembali beroperasi sepenuhnya, hari ini.

Operasi gotong-royong membersihkan pos terletak hanya beberapa meter dari Sungai Golok itu dilakukan dengan bantuan tiga badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Pertubuhan Integrasi Amal Kelantan, Pertubuhan Ikatan Murni Chetok dan Gabungan Kelab Kereta Negeri Kelantan dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Pegawai Pemerintah Medan, Superintendan Azhari Nusi berkata, selain Pos Ibrahim Pencen, dua lagi pos kawalan PGA yang turut terjejas akibat banjir ialah Pos Sharifah dan Mek Gombak yang dinaiki air antara 1.8 hingga 2.5 meter ketika banjir gelombang ketiga, baru-baru ini.

"Setiap tahun tiga pos kawalan ini akan mengalami banjir menyebabkan semua anggota ditempatkan di kawasan itu perlu berpindah.

"Ketika banjir gelombang ketiga baru-baru ini, air mulai naik pada 4 Januari dan berlaku peningkatan mendadak menyebabkan semua anggota termasuk pegawai dipindahkan ke Kompeni Taktikal Taman Bakti kira-kira dua kilometer jauhnya keesokan hari," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Azhari berkata, selepas hampir 10 hari ditenggelami banjir sehingga mencecah ke dalam bilik di tingkat atas, air surut sepenuhnya dan kerja pembersihan mula dilakukan sejak semalam dan hari ini, gotong-royong bersama masyarakat dijalankan.

GOTONG-ROYONG membersihkan Pos Ibrahim Pencen dilakukan oleh anggota PGA dibantu wakil tiga NGO dan anggota APM. FOTO Siti Rohana Idris
GOTONG-ROYONG membersihkan Pos Ibrahim Pencen dilakukan oleh anggota PGA dibantu wakil tiga NGO dan anggota APM. FOTO Siti Rohana Idris

Beliau berkata, walaupun tiga pos kawalan itu terjejas banjir, operasi penugasan tetap dilakukan menerusi rondaan menggunakan kenderaabn pacuan empat roda atau bermotosikal.

Menurutnya, sepanjang sebulan Batalion 7 bertugas iaitu bermula 16 Disember lalu sehingga hari ini, sebanyak 82 kes sudah dicatatkan dengan nilai rampasan kira-kira RM4.3 juta.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Integrasi Amal Kelantan, Meor Shamshir Meor Zulkefli Auni berkata, gotong-royong dilakukan 10 wakil membabitkan tiga NGO itu adalah sebagai penghargaan kepada agensi penguatkuasaan yang turut dilanda musibah dalam usaha menjaga keselamatan sempadan negara.

"Sumbangan kecil ini adalah mesej bahawa masyarakat sentiasa bersama pihak berkuasa dan selain bergotong-royong membersihkan pos kawalan ini, kami menghulurkan sedikit bantuan makanan termasuk sejadah," katanya.

Bagi Ketua Pos Ibrahim Pencen, Inspektor Nor Saifuddin Ibrahim, banjir yang melanda kawasan itu tidak sekali-kali menjadi halangan buatnya dan tujuh anggota lain untuk terus menjalankan penugasan walaupun adakalanya berdepan detik cemas.

Beliau berkata, ketika hari kedua dinaiki air iaitu pada 5 Januari lalu, mereka diarahkan untuk segera berpindah kerana ketika itu limpahan sudah melebihi dua meter, malah hampir memasuki ruang bilik di tingkat atas.

"Tanpa membuang masa kami memunggah segala barangan dan memasukkan ke dalam tong yang diapungkan sambil kami berenang untuk keluar dari kawasan pos ini.

"Walaupun berpindah ke lokasi lain, kami tidak mengabaikan penugasan kerana kawasan ini adalah 'hot spot' memandangkan hanya berjarak beberapa meter sahaja dengan Thailand yang boleh mengundang kepada kegiatan rentas negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 January 2021 @ 4:19 PM