KERJA-KERJA sanitasi dilaksanakan pada setiap hari.  FOTO PPSPM
KERJA-KERJA sanitasi dilaksanakan pada setiap hari. FOTO PPSPM
Nazri Abu Bakar


Melaka: Walaupun Melaka River Cruise (MRC) menangguhkan sementara perkhidmatannya sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) namun kerja-kerja sanitasi, pembersihan sungai dan bot MRC tetap dilakukan setiap hari.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) Datuk TPr. Murad Husin berkata, pihak pengurusan mengatur jadual tugasan kakitangan mengikut bahagian masing-masing secara giliran dengan mematuhi SOP diwajibkan.

Menurutnya, kerja-kerja pembersihan bermula dari kawasan Jambatan Hang Jebat sehingga di pintu kawalan air 'Barrage' di Banda Hilir.

"Ia dilaksanakan sebanyak empat kali pada setiap hari bermula jam 8 pagi.

"Tugas itu juga dilaksanakan di Pusat Penerangan Sungai (RIC) hingga di Batu Hampar, Peringgit dalam usaha PPSPM meningkatkan tahap kebersihan dan keceriaan kawasan sekitar sebagai keutamaan.

"Bagi mengawal sampah hanyut, Bahagian Pembersihan dengan kerjasama Bahagian kejuruteraan PPSPM mengambil inisiatif dengan memasang 'Lock Boom' di dua lokasi iaitu di bawah Jambatan Lebuh Alor Gajah- Melaka Tengah- Jasin (AMJ) dan di persisiran Sungai Melaka di Peringgit.

"Pada masa sama, kerja sanitasi juga turut diadakan sebelum dan selepas operasi bot MRC pada setiap hari sama ada di dalam bot mahupun di kedua-dua kaunter tiket serta tempat menunggu," katanya tadi.

Beliau berkata, bagi memastikan operasi bot MRC berjalan lancar serta aset-aset PPSPM berada dalam keadaan baik, Pasukan Emergency Response Team (ERT) PPSPM turut melakukan rondaan di darat secara berbasikal mahupun di air dengan menggunakan bot 'rescue' .

Murad berkata, pengurusan juga mengambil peluang merangka pelan strategi PPSPM bagi tempoh lima tahun selari dengan visi dan misi Kerajaan Negeri Melaka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 January 2021 @ 4:10 PM