Abdul Razak Abdul Rahman
Abdul Razak Abdul Rahman
BERNAMA

Melaka: Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) sedang merancang pembangunan pasar terapung di Sungai Melaka Fasa Dua di Stesen Melaka River Cruise di Pengkalan Rama di sini, sebagai projek perintis pada tahun hadapan.

EXCO Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata, 10 bot berbumbung berkonsep moden akan ditempatkan di sepanjang 30 meter Sungai Melaka Fasa Dua dan projek itu akan dipindahkan ke stesen teksi air berhampiran Taman Lagenda selepas kerja-kerja pembersihan dan pengindahan sungai berkenaan siap kelak.

Beliau berkata, PPSPM sedang memperhalusi aspek teknikal dan konsep bagi melaksanakan pasar terapung berkenaan dan setakat ini kerja-kerja awalan sedang dilaksanakan bagi mendapatkan kelulusan teknikal daripada jabatan dan agensi berkaitan berhubung perancangan tapak dan reka bentuk bot terapung.

"PPSPM merancang untuk menyediakan 30 bot bagi aktiviti pasar terapung di kawasan itu, 60 kiosk perniagaan di tebing sungai dan sebuah restoran terapung sebagai tarikan pelancong baharu di Melaka.

"Projek ini akan memberi peluang kepada sekurang-kurangnya 90 peniaga kecil yang kreatif dan konsep pasar terapung yang dicadangkan adalah menawarkan jualan produk makanan, kraftangan dan lain-lain dengan mengetengahkan produk etnik di Melaka seperti Melayu, Cina, India, Orang Asli, Baba Nyonya, Portugis dan Chetti," katanya ketika pada Sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) di Kompleks Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan Low Chee Leong (PH-Kota Laksamana) yang ingin tahu operasi pembangunan dan operasi pasar terapung Sungai Melaka.

Terdahulu, menjawab soalan Low berkaitan Sungai Melaka yang akan berfungsi sebagai laluan pengangkutan alternatif, Abdul Razak berkata, PPSPM sudah memperkenalkan perkhidmatan teksi air dan ia dilancarkan Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, pada 16 Mei lalu.

Beliau berkata, setakat ini, ada dua teksi air berkapasiti 20 tempat duduk bagi setiap bot dan sistem pembayaran digunakan bagi perkhidmatan teksi air ini berbeza daripada bot biasa.

"Penumpang perlu membuat pembelian dan tambah nilai kad tanpa tunai di kaunter tiket Melaka River Cruise (MRC) atau di dalam teksi air serendah RM20. Perkhidmatan ini mendapat sambutan daripada pelancong tempatan dan luar negara, terutama pada waktu puncak.

"Berdasarkan rekod, 1,363 penumpang menggunakan perkhidmatan teksi air ini sehingga 23 Julai lalu dan ia satu daripada cara menangani kekurangan tempat letak kenderaan di kawasan tumpuan pelancong seperti di Banda Hilir," katanya.

Beliau berkata, PPSPM juga menyediakan parkir percuma di Stesen Pengkalan Rama dan Taman Rempah selain parkir berbayar di Stesen Hang Tuah, Kampung Hulu dan The Shore.

Penumpang pula boleh menaiki teksi air berkenaan di mana-mana 14 stesen di Sungai Melaka.

Sementara itu, mengulas soalan tambahan Low sama ada terdapat cadangan supaya tambang bagi menaiki MRC lebih kompetetif, Abdul Razak berkata, tambang berkenaan amat berpatutan namun cadangan terbabit akan diperhalusi selain akan mendapatkan pandangan semua pihak.

"MRC adalah tarikan pelancongan yang cukup hebat di Melaka sejak ia ditubuhkan pada 2006 dan sehingga Julai ini, 13 juta orang direkodkan menaiki bot untuk menikmati keindahan Sungai Melaka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Julai 2023 @ 1:09 PM