GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuantan: Seorang anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tuduhan menerima suapan RM350, kira-kira dua tahun lalu.

Koperal Mohd Salleh Harun, 56, yang beralamat di Sungai Soi di sini, didakwa menerima suapan itu daripada seorang peniaga wanita berusia 60-an pada 12 tengah hari, 21 Julai 2019 di tempat letak kereta sebuah gerai makanan di sini.

Bagi kesalahan itu, tertuduh yang bertugas sebagai pengawal pengiring di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini, didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Peguam Muhammad Saifuldin Ab Rahman merayu mahkamah mengurangkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin yang ditawarkan pihak pendakwaan atas alasan jumlah itu adalah tinggi jika dibandingkan dengan pendapatan bersih tertuduh sekitar RM1,200 sebulan.

"Tertuduh bukan hanya menanggung keluarganya, malah turut membantu ibu dan dua adik. Sepanjang lebih 30 tahun bertugas, tertuduh tidak pernah mempunyai rekod kesalahan.

"Malah sebagai anggota polis, tertuduh sedia maklum akan tanggungjawab untuk hadir ke mahkamah," katanya.

Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain membenarkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis setiap bulan dan dilarang mengganggu saksi pendakwaan manakala sebutan semula kes ditetapkan pada 3 Feb ini.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kamariah Seman.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 January 2021 @ 2:55 PM