LOKASI mangsa dipercayai bermain layang-layang sebelum insiden renjatan elektrik berlaku. FOTO RECQUEAL RAIMI
LOKASI mangsa dipercayai bermain layang-layang sebelum insiden renjatan elektrik berlaku. FOTO RECQUEAL RAIMI
Recqueal Raimi


Tuaran: Seorang kanak-kanak lelaki berusia sepuluh tahun maut dipercayai terkena renjatan elektrik di kawasan lapang di Kampung Tembiluk, Mengkabong di sini, tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, berkata, sebelum insiden jam 12.45 tengah hari itu, mangsa dipercayai bermain layang-layang bersama seorang rakannya yang berusia 12 tahun.

Katanya, pihak polis kemudiannya menerima panggilan telefon daripada orang awam berhubung penemuan seorang kanak-kanak lelaki ditemui dalam keadaan terbaring dan tidak sedarkan diri di lokasi yang juga bekas tapak padi sawah.

"Hasil siasatan mendapati, kejadian awal berpunca daripada layang-layang mangsa yang tersangkut di tiang elektrik.

"Mangsa berusaha mendapatkan layang-layang itu semula dengan menjoloknya menggunakan batang besi menyebabkan mangsa terkena renjatan elektrik lalu tidak sedarkan diri," katanya.

Menurutnya, bapa mangsa hanya menyedari kejadian selepas adik iparnya memaklumkan penemuan mangsa dan dihantar ke Hospital Tuaran.

"Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di wad kecemasan akibat melecur separuh badan."

"Mayat mangsa ditempatkan di unit Forensik Hospital Tuaran bagi mengikuti prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 sebelum proses bedah siasat dijalankan," jelasnya.

Mohd Hamizi berkata, pemeriksaan juga mendapati tiada tanda-tanda mencurigakan manakala kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sehingga laporan penuh bedah siasat diperoleh.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Julai 2021 @ 9:54 PM