MOHD Ridza (kanan) bertemu balu Allahyarham Zulkarnain Hitam, Mazayana Abdullah (kiri) di Taman Perdana. FOTO Mohd Rafi Mama
MOHD Ridza (kanan) bertemu balu Allahyarham Zulkarnain Hitam, Mazayana Abdullah (kiri) di Taman Perdana. FOTO Mohd Rafi Mama
Mohd Rafi Mamat


Jerantut: "Saya akan tunaikan hajat arwah ayah yang begitu inginkan saya berkhidmat dengan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP)," kata Urfan Iskandar Zulkarnain, 21.

Menurutnya, dia bersyukur kerana kini berpeluang untuk diterima masuk bagi mengikuti kursus Sijil Perhutanan Renjer Hutan di Institut Latihan Perhutanan (FORTRAIN) Kuala Lumpur tidak lama lagi.

"Ia menjadi lebih bermakna apabila surat tawaran bagi mengikuti kursus selama dua tahun ini diserahkan sendiri oleh Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia Datuk Mohd Ridza Awang.

"Saya bersyukur impian untuk mengikuti kursus perhutanan di FORTRAIN kini sudah menjadi kenyataan, selepas tamat dua tahun latihan saya akan membuat memohon jawatan renjer hutan dengan JPNP.

"Walaupun perjalanan masih panjang namun saya penuh yakin suatu hari nanti akan berkhidmat dengan JPNP seperti yang diinginkan arwah ayah," katanya yang menjalani temuduga secara dalam talian bulan lalu.

Urfan Iskandar adalah anak kakitangan Pejabat Hutan Daerah (PHD) Jerantut, Pengawas Hutan Zulkarnain Hitam, 58, yang terkorban bersama anak sulungnya, Ukai Iskandar, 23, ketika meredah banjir di Kampung Gintong, di sini, minggu lalu.

Dalam kejadian kira-kira 10.30 malam itu Zulkarnain bersama tiga anak lelakinya meredah banjir selepas memindahkan kereta ke kawasan tinggi.

Sementara itu Mohd Ridza berkata, Bahagian Latihan Perhutanan JPSM mengambil keputusan menerima permohonan Urfan Iskandar yang begitu berminat mendalami ilmu perhutanan seterusnya bercita-cita untuk bertugas dengan JPNP suatu hari nanti sebagai memenuhi hajat arwah ayahnya.

"Kita akan membantu keluarga arwah Zulkarnain yang juga kakitangan PHD Jerantut, semua urusan bayaran imbuhan yang layak diterima balu arwah, Mazayana Abdullah, 44 sudah diselesaikan.

"Bayaran berkenaan penting untuk mereka menyara keluarga dan hari ini saya juga menyampaikan sumbangan kewangan daripada Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) dan JPSM," katanya selepas mengunjungi keluarga arwah Zulkarnain di Taman Perdana, semalam.

Hadir sama Pengarah JPNP, Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin yang turut menyampaikan sumbangan JPNP.

Berita berkaitan:

  • Mayat Uqail Iskandar dijumpai
  • 'Abah lemas selamatkan abang'
  • Bapa korban banjir pertama, anak masih hilang
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 January 2021 @ 3:00 PM