Siti Rohana Idris

Tumpat: Banjir termenung yang dialami lebih 10 kampung di daerah ini menyebabkan air masih bergenang di beberapa kawasan dan memaksa penduduk menggunakan bot atau perahu untuk menjalankan rutin harian.

Seawal 6 pagi, kelihatan kira-kira 20 bot penambang berlegar membawa penduduk yang rata-ratanya kediaman mereka masih dinaiki air untuk keluar bekerja atau keluar berbelanja.

Bagi Syaharudin Mohd Nor, 44, keadaan itu berlaku sejak enam hari lalu selepas banjir gelombang ketiga yang bermula pada Rabu lalu dan hingga kini air masih lagi memenuhi beberapa kampung antaranya Kajang Sebidang, Palas Merah, Kuala Jambu, Naga Ibu, Bendang Pak Yong, Jejulok dan Teluk Jering.

"Kampung saya di Kampung Kajang Sebidang juga masih digenangi air kira-kira 0.7 meter dan kebanyakan penduduk perlu menaiki perahu untuk keluar ke jalan utama.

"Setiap hari saya keluar pada 6.45 pagi untuk ke tempat kerja di sekolah memandu di Lubok Jong, Pasir Mas dan memang menggunakan perahu penambang untuk ke Kampung Palas Merah yang dijadikan jeti sementara di musim banjir kerana kereta di parkir di sana," katanya ketika ditemui di Kampung Palas Merah di sini, hari ini.

SYAHARUDIN menggunakan bot atau perahu untuk keluar ke jalan utama yang dikenakan bayaran RM3 sehala. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR.
SYAHARUDIN menggunakan bot atau perahu untuk keluar ke jalan utama yang dikenakan bayaran RM3 sehala. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR.

Keadaan yang sama dialami Che Hassan Ariffin, 55, juga dari Kampung Kajang Sebidang yang memaklumkan kediamannya masih digenangi air kira-kira 0.5 meter hari ini.

Dia yang mahu ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu bagi menjaga bapanya yang sedang dirawat terpaksa menaiki bot penambang dengan bayaran RM3 sehala untuk ke lokasi motosikalnya yang parkir di Kampung Palas Merah.

"Situasi banjir termenung sebegini dialami setiap tahun dan memang air sangat mengambil masa untuk surut sepenuhnya iaitu antara seminggu hingga dua minggu.

"Bagaimanapun, kebanyakan penduduk kampung tidak berpindah kerana rata-rata membina rumah agak tinggi dan jika ada yang rumah mereka dimasuki air sekalipun, mereka tetap bertahan dalam kediaman masing-masing," katanya.

Bagi jurumudi bot penambang, Mohd Asri Jisma@Ismail, 29, musim tengkujuh akan dimanfaatkannya untuk membawa penumpang dan kadar tambang yang dikenakan hanyalah RM3 untuk sehala.

Dia yang bekerja sebagai pemandu jengkaut di tapak binaan terpaksa bercuti kerana rumahnya di Kampung Naga Ibu turut dinaiki air sehingga paras 0.7 meter.

"Selagi banjir termenung belum surut sepenuhnya, memang saya tidak keluar bekerja sebaliknya menggantikan sumber pendapatan dengan membawa bot penambang.

"Seawal 6 pagi saya sudah membawa penduduk yang ingin keluar bekerja dan akan berakhir kira-kira 9 malam namun jika ada kecemasan atau keperluan, penduduk akan menghubungi menerusi panggilan telefon," katanya sambil memberitahu secara purata pendapatan yang diperoleh hasil membawa bot penambang ketika banjir adalah sekitar RM40 sehari.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 January 2021 @ 2:10 PM