Datuk Seri Takiyuddin Hassan
Datuk Seri Takiyuddin Hassan
Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: PAS menyifatkan pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri, adalah tepat mengambil kira pengalaman luas beliau dalam pentadbiran kerajaan dan menjawat Menteri serta Menteri Kanan.

Ismail Sabri juga adalah pemimpin UMNO paling kanan dalam Kerajaan Perikatan Nasional.

Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, parti itu dan seluruh kepimpinan serta ahli mengucapkan tahniah kepada Ismail Sabri atas pelantikan berkenaan.

"PAS yakin beliau akan dapat membantu Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam menguruskan negara, terutama menjayakan Pelan Pemulihan Negara ketika masih lagi berdepan dengan pandemik Covid-19.

"PAS turut mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Hishamuddin Hussein yang turut dilantik sebagai seorang Menteri Kanan.

"Beliau yang juga anggota kanan dalam kerajaan sebelum ini diyakini mampu berganding tenaga dengan semua anggota Kabinet yang lain ke arah membawa Malaysia lebih dihormati di peringkat antarabangsa," katanya.

Terdahulu, Pejabat Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan pelantikan Ismail Sabri dan Hishammuddin oleh Muhyiddin berkuat kuasa serta merta.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Julai 2021 @ 6:24 PM