NAIB Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. FOTO ASYRAF HAMZAH
NAIB Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. FOTO ASYRAF HAMZAH
Mohd Nasaruddin Parzi


Kuala Lumpur: Mesyuarat khas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Isnin lalu tidak berbincang dan memutuskan calon dalam kalangan Ahli Parlimen Umno untuk diangkat sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM).

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, MKT Umno tidak pernah dimaklumkan berkenaan sebarang permintaan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin untuk menamakan calon timbalannya.

"Tak tahu (Umno diminta kemuka calon TPM). Tiada (dibincang dalam mesyuarat MKT)," katanya ringkas menjawab persoalan mengenai laporan kononnya Muhyiddin menunggu nama daripada Umno untuk mengisi jawatan berkenaan, seperti dilapor beberapa portal media.

Portal media itu melaporkan kononnya Muhyiddin menunggu Umno mengemukakan nama Ahli Parlimen parti itu untuk dipilih sebagai timbalannya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa, dalam Twitternya menyifatkan laporan berkenaan sebagai karut.

"Tolong berhentikan laporan spekulatif karut marut..be fair to PM (berlaku adil kepada Perdana Menteri)..be fair to Umno too (berlaku adil kepada Umno juga)," katanya yang mengulang ciap laporan media berkenaan.

Umno pada Isnin memutuskan untuk terus mendokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin dan menolak sebarang kerjasama dengan PKR dan DAP.

Namun, spekulasi kini bertiup berkenaan kemungkinan Muhyiddin akan mengumumkan nama timbalannya dalam kalangan pemimpin dan Ahli Parlimen Umno.

Antara nama disebut-sebut termasuk Ahli Parlimen Bera yang juga Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Ahli Parlimen Sembrong yang juga Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Selain itu, turut disebut, Timbalan Presiden Umno yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan serta Annuar, yang juga Ahli Parlimen Ketereh dan Menteri Wilayah Persekutuan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Oktober 2020 @ 6:45 PM