Nor Fazlina Abdul Rahim

Kota Bharu: Keputusan Ahli Parlimen Machang Datuk Ahmad Jazlan Yaakob berhubung penarikan sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) semalam, akan dibincangkan dalam pucuk pimpinan Umno.

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebarang perkara yang berlaku mesti diputuskan di peringkat tertinggi parti.

"Saya hanya baca pendirian Datuk Ahmad Jazlan melalui media semalam. Kita tidak tahu apa yang berlaku sama ada perkara berkenaan sudah dibincangkan di peringkat Umno negeri.

"Sebab itu, sebarang perkembangan yang berlaku di peringkat parti, kepimpinan tertinggi akan berbincang," katanya.

ISMAIL SABRI
ISMAIL SABRI

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan Barang Bantuan Kepada Mangsa Banjir di Kem Pengkalan Chepa di sini, hari ini.

Hadir sama Panglima Tentera Darat Jeneral Datuk Zamrose Mohd Zain.

Ditanya mengenai pendirian beliau terhadap kerajaan PN, Ismail Sabri yang juga Menteri Kanan (Keselamatan) berkata, beliau tidak boleh ada pendirian sendiri atau peribadi sebaliknya perlu pendirian parti.

Semalam, Ahmad Jazlan mengumumkan keputusannya menarik diri daripada menyokong kerajaan PN yang diketuai Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkuat kuasa serta-merta.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan menjelaskan surat makluman tindakan itu akan dihantar kepada Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan segera.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 January 2021 @ 1:54 PM