FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Ruwaida Md Zain

Shah Alam: Sebuah syarikat menjual penapis air diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Selangor selepas dikesan sengaja tidak meletakkan nombor lesen jualan langsung pada setiap barangan dijual.

Pengarah KPDNHEP Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, tindakan menyiasat premis di Taman Pinggiran Putra, Seri Kembangan itu dilakukan jam 11.30 pagi tadi.

"Sepasukan lapan anggota penguat kuasa KPDNHEP mendapati syarikat itu tidak meletakkan nombor jualan langsung pada barang jualan dan produk penapis air dipasarkan.

"Hasil pemeriksaan dijalankan mendapati syarikat berkenaan gagal mematuhi syarat lesen ditetapkan. Susulan itu 28 set penapis air dan aksesori dianggarkan bernilai RM59,300 disita KPDNHEP bagi tujuan siasatan lanjut," katanya.

Muhamad Zikril Azan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 6 (1) Akta Jualan Langsung & Anti Piramid 1993 iaitu melanggar apa-apa syarat yang ditetapkan di dalam lesen.

"Jika disabitkan kesalahan, syarikat itu boleh dikenakan didenda tidak melebihi RM250,000 dan denda tidak melebihi RM500,000 bagi kesalahan kedua," katanya.

Justeru itu, beliau memberi amaran kepada mana-mana individu dan syarikat perniagaan supaya sentiasa mematuhi syarat-syarat pelesenan ditetapkan semasa menjalankan aktiviti jualan langsung.

" Penalti berat akan dikenakan terhadap mana-mana individu yang ingkar," katanya.

Katanya, pengguna di Selangor atau orang awam yang ingin menyalurkan aduan boleh menghubungi Portal [email protected], Call Centre 1800 886 800, emel [email protected], aplikasi telefon pintar Ez ADU, Enforcement Command Centre (ECC) 03-8882 6245 / 6088, talian 03-8000 8000 Malaysia Government Call Centre (MYGCC) dan Whatsapp ke 019- 279 4317.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 January 2021 @ 7:01 PM