Yusmizal Dolah Aling


Petaling Jaya: Sehingga semalam, sejumlah 1,271 pemeriksaan dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor bagi pemantauan terhadap Skim Pelaksanaan Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP).

Pengarahnya Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, dalam tempoh itu juga pihaknya turut menerima tiga aduan masing-masing dua di Shah Alam dan satu di Petaling Jaya berkaitan kenaikan harga barang.

Katanya, penguat kuasa digerakkan susulan aduan itu untuk pemeriksaan.

"Kita menempatkan pegawai pemantau harga bagi memastikan SHMMP dipatuhi. Dengan pelaksanaan skim ini secara tidak langsung dapat membendung kenaikan harga yang tidak munasabah ketika Ramadan dan Aidilfitri nanti.

"Berdasarkan jumlah aduan (yang tidak banyak), kita tahu peniaga mematuhi peraturan yang ditetapkan," katanya kepada media selepas meninjau Pasar Besar Jalan Othman dekat sini, hari ini.

Muhamad Zikril Azan berkata, pihaknya juga berpuas hati dengan pematuhan tinggi peniaga terhadap peraturan SHMMP dan berharap ia berterusan bagi memanfaatkan pengguna.

"Kita harap semua pihak termasuk peniaga dan pengguna memainkan peranan masing-masing agar kita dapat mengambil tindakan sewajarnya bagi membendung salah laku etika oleh peniaga.

"Pengguna juga boleh memberikan maklumat menerusi sembilan saluran aduan KPDNHEP dengan menyertakan butiran lengkap," katanya.

Antara saluran aduan yang boleh digunakan termasuk, portal e-aduan.kpdnhep; talian 1-800-886-800, emel [email protected]; aplikasi Ez ADU KPDNHEP; talian Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) 03-8882 6088/6245 dan WhatsApp kepada nombor aduan 0192794317.

MUHAMMAD Zikril (dua kanan) bertemu peniaga di Pasar Besar Jalan Othman, Petaling Jaya dalam pemeriksaan sempena SHMMP. FOTO Saifullizan Tamadi.
MUHAMMAD Zikril (dua kanan) bertemu peniaga di Pasar Besar Jalan Othman, Petaling Jaya dalam pemeriksaan sempena SHMMP. FOTO Saifullizan Tamadi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 April 2021 @ 11:22 AM