MUHAMAD Zikril  (kiri) menunjukkan harga terkini bahan api petrol pada salah satu pam minyak sempena Ops Nozel di sebuah stesen minyak di Sungai Burong, malam tadi. FOTO IHSAN KPDNHEP Selangor
MUHAMAD Zikril (kiri) menunjukkan harga terkini bahan api petrol pada salah satu pam minyak sempena Ops Nozel di sebuah stesen minyak di Sungai Burong, malam tadi. FOTO IHSAN KPDNHEP Selangor
Amirul Aiman Hamsuddin


KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor memberi jaminan bekalan bahan api petrol dan diesel di negeri ini mencukupi.

Ia berikutan pemeriksaan yang dilakukan di semua stesen minyak di negeri ini sejak Januari lalu.

Pengarah KPDNHEP Selangor Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, pemeriksaan itu bertujuan memastikan bekalan bahan api petrol dan diesel sentiasa mencukupi untuk jualan harian.

"Sebanyak 140 hingga 150 stesen minyak di negeri ini diperiksa setiap minggu oleh tujuh cawangan KPDNHEP Selangor

"Untuk setiap cawangan (KPDNHEP Selangor), kita tetapkan dua pasukan yang akan bergerak serentak dengan pecahan dua pasukan yang akan memeriksa lapan hingga 10 stesen minyak secara berkala," katanya.

Beliau ditemui pada sidang media selepas melakukan Ops Nozel di sebuah stesen minyak di Sungai Burong, malam tadi.

Dalam pada itu, beliau berkata, hasil pemantauan dan pemeriksaan mendapati semua pengusaha stesen minyak mematuhi peraturan ditetapkan sepanjang operasi dijalankan.

 MUHAMAD Zikril (tengah) melakukan pemeriksaan ke atas sebuah stesen minyak sempena Ops Nozel di Sungai Burong, malam tadi. FOTO IHSAN KPDNHEP Selangor
MUHAMAD Zikril (tengah) melakukan pemeriksaan ke atas sebuah stesen minyak sempena Ops Nozel di Sungai Burong, malam tadi. FOTO IHSAN KPDNHEP Selangor

"Setakat ini, kita tiada menerima sebarang aduan daripada masyarakat berkaitan ketidakpatuhan mana-mana stesen minyak dalam melaksanakan arahan kerajaan.

"Kita meminta orang ramai yang mempunyai maklumat sekiranya ada dalam kalangan pengusaha stesen minyak tidak mematuhi peraturan, maka mereka boleh membuat aduan secara terus kepada sembilan saluran aduan KPDNHEP antaranya melalui WhatsApp, e-Z ADU, laman sesawang dan emel," katanya.

Zikril Azan berkata, pihaknya turut mengedarkan surat arahan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kepada pemilik stesen minyak.

"Mereka (pengusaha stesen minyak) selaku peniaga berlesen perlu bertanggungjawab dalam memastikan bekalan sentiasa mencukupi untuk jualan harian di premis masing-masing," katanya.

Menurut Zikril Azan, pihaknya tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap pengusaha stesen minyak yang gagal mematuhi syarat terkandung dalam lesen runcit barang kawalan mengikut Peraturan 21, Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

"Kesalahan itu boleh dihukum mengikut Seksyen 22, Akta Kawalan Bekalan 1974 iaitu jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM1 juta atau penjara tiga tahun atau kedua-dua sekali bagi kesalahan pertama atau denda RM3 juta bagi kesalahan kedua dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Mac 2020 @ 2:31 PM