MINAH bersama anaknya diselamatkan anggota Bomba dan Penyelamat selepas terperangkap di sawah. FOTO ihsan bomba
MINAH bersama anaknya diselamatkan anggota Bomba dan Penyelamat selepas terperangkap di sawah. FOTO ihsan bomba
Zaid Salim


Hulu Terengganu: Pesawah bersama dua anak cemas apabila terperangkap di kawasan sawah selama lima jam semalam, selepas gagal menyeberangi Sungai Telemong, di sini, untuk pulang berikutan arus deras.

Dalam kejadian 2 petang itu, Minah Dollah, 70, bersama anak, Rohani Mamat, 54, dan Mat Zaid, 47, ke sawah padi untuk melakukan kerja pembenihan di seberang sungai.

Mat Zaid berkata, mereka menggunakan bot gentian kaca untuk menyeberangi sungai yang ketika itu paras air berada dalam keadaan biasa.

Menurutnya, kebiasaannya mereka pulang ke rumah jam 5 petang selepas selesai melakukan kerja sawah setiap hari.

"Bagaimanapun semalam, kami leka berada di sawah dan tidak sedar hari semakin gelap dan segera bersiap untuk pulang ke rumah jam 6.30 petang.

"Ketika mahu menyeberang sungai, saya terkejut apabila mendapati paras air tinggi dan arus pula laju.

"Kami cuba menyeberangi sungai tetapi arus sangat deras menyebabkan kami terpaksa berpatah balik kerana tidak mahu mengambil risiko," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Dia yang tinggal di Kampung Kepah, di sini, berkata, berikutan kejadian itu, mereka sekeluarga terpaksa berlindung di stor di kawasan sawah sebelum menghubungi ahli keluarga lain bagi mendapatkan bantuan.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang, Hanaffi Mohd berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 8.30 malam sebelum bergegas ke lokasi dengan kekuatan enam anggota.

"Sampai di Kampung Matang kami berdepan kesukaran menurunkan bot ke sungai dan terpaksa menukar laluan ke Kampung Kepah," katanya.

Beliau berkata, arus sungai yang deras selain keadaan persekitaran yang gelap menyukarkan kerja menyelamat mangsa.

Katanya, semua mangsa dikeluarkan dari lokasi kejadian dalam keadaan selamat, jam 10.30 malam tadi.

Pix caption

Minah Dollah, 70, (kiri) bersama dua anak, Rohani Mamat, 54, dan Mat Zaid, 47, diselamatkan Bomba dan Penyelamat selepas terperangkap di sawah padi berikutan gagal menyeberang Sungai Telemong ekoran arus deras dan paras naik secara mendadak.NSTP/IHSAN BOMBA

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 January 2021 @ 1:25 PM