GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Fatihah Sulaini


MURID Tahun Enam dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus ketika cuba menyeberangi sungai berhampiran Boardwalk Setiu di Pengkalan Gelap, Permaisuri, hari ini.

Mangsa, Mohd Afizul Norizam, 12, murid Sekolah Kebangsaan Saujana, Permaisuri bersama tiga lagi rakannya dikatakan ke situ untuk mandi dan mencari lokan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Setiu, Mustafa Ismail, berkata, mereka menerima panggilan pada 1.31 tengah hari daripada orang awam memaklumkan kejadian itu.

“Difahamkan, ketika kejadian mangsa baru selesai mandi sungai bersama tiga rakannya dan ingin kembali ke daratan dengan mengharungi sungai yang sebelum itu cetek.

“Namun, ketika cuba menyeberang sungai, mereka dihanyutkan arus deras dan sempat berpaut antara satu sama lain. Mangsa dikatakan terlepas daripada pautan dan dibawa arus,” katanya.

Mustafa berkata, operasi pencarian disertai 49 anggota dan pegawai pasukan penyelamat termasuk Bomba, polis, Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan dibantu nelayan kawasan sekitar.

“Kerja menyelam dalam operasi pencarian mangsa lemas ditamatkan 7 malam ini dan akan disambung semula kira-kira 8 pagi esok.

“Namun pencarian di permukaan sungai akan tetap diteruskan pada malam ini,” katanya.

Sementara itu, seorang nelayan yang enggan dikenali berkata, dia bersama beberapa rakan sempat menolong menarik dua mangsa yang berada di beting pasir di tengah sungai dengan menaiki bot.

“Jarak antara beting dengan tepi sungai agak dekat, tetapi mereka tidak berani menyeberangi sungai itu kerana air dalam dan baru melepasi arus deras.

“Seorang lagi kenalan mangsa yang berada di tepi sungai turut membantu apabila melihat rakan mereka lemas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Ogos 2018 @ 8:44 PM