ANGGOTA bomba menyelamatkan mangsa yang terperangkap dalam arus deras.
ANGGOTA bomba menyelamatkan mangsa yang terperangkap dalam arus deras.

Hulu Selangor: Seramai 80 pengunjung Santuari Kelah Sungai Chiling, Kuala Kubu Bharu di sini, cemas apabila terperangkap lebih empat jam susulan arus air sungai menjadi deras secara mendadak semalam.

Dalam kejadian jam 4.20 petang itu, kebanyakan mangsa termasuk kanak-kanak datang ke kawasan terbabit untuk berkelah.

Mereka mulanya dikatakan menyeberangi sungai itu ke kawasan di seberang sungai, namun gagal berpatah balik apabila paras sungai menjadi semakin dalam dan deras.

Jurucakap bomba dan penyelamat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.26 petang dan bergegas ke lokasi kejadian.

Menurutnya, usaha menyelamatkan mangsa membabitkan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu dan BBP Rawang.

“Sebaik sampai di lokasi kejadian, kami mendapati seramai 80 orang pengunjung berdaftar dan tidak berdaftar terperangkap menyebabkan pihak bomba terpaksa berusaha mengeluarkan mangsa dari lokasi kejadian.

“Kesemua mereka yang terperangkap berjaya dibawa keluar dari lokasi kejadian pada jam 9 malam. Tiada mangsa yang tercedera dalam kejadian itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Oktober 2014 @ 5:06 AM