PENDUDUK terjejas banjir yang ditempatkan di PPS. FOTO Izwan Abdullah
PENDUDUK terjejas banjir yang ditempatkan di PPS. FOTO Izwan Abdullah
Izwan Abdullah


Beaufort: Seramai 224 daripada 70 keluarga mangsa banjir masih ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Selagon, di sini, setakat 8 pagi ini.

Tiga keluarga membabitkan tujuh mangsa sudah dibenarkan pulang petang semalam berikutan beberapa kawasan yang terjejas banjir mulai surut.

Berdasarkan laporan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Alam Daerah (JPBD), kesemua mangsa yang dipindahkan ialah dari Kampung Suasa Bakalau, Bangkalalak, Lago dan Berumbai.

Bagaimanapun, beberapa kawasan seperti di sekitar pekan Beaufort, Kampung Bingkul dan Melulugus sudah surut sejak semalam.

Hanya di kampung bahagian hilir Sungai Padas dilaporkan masih ditenggelami banjir setakat semalam, antaranya Kampung Suasa, Bangkalalak, Beringin dan Lawa.

Banjir melanda kebanyakan kampung di kawasan rendah sekitar daerah ini berikutan limpahan air Sungai Padas berpunca daripada hujan lebat berterusan di kawasan hulu di zon pedalaman sejak beberapa hari lalu.

PPS Selagon diaktifkan sejak Jumaat lalu selepas keadaan banjir bertambah buruk terutama kampung di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Pendidikan Negeri Sabah melaporkan tiada sekolah di kawasan terjejas banjir ditutup akibat bencana alam itu setakat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 September 2023 @ 10:06 AM