DATUK Hasni Mohammad. FOTO arkib NSTP
DATUK Hasni Mohammad. FOTO arkib NSTP
Nurul Amanina Suhaini


Johor Bahru: Johor mahu Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) diteruskan walaupun jajaran baharu tidak membabitkan Singapura.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, berikutan pembatalan projek terbabit, ia juga secara tidak langsung memberi peluang kepada kerajaan pusat bagi menilai semula pulangan kepada pelaburan.

Katanya, walaupun Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah mengumumkan pembatalan projek HSR Malaysia-Singapura, namun kerajaan negeri berharap projek itu akan dapat diteruskan, pada masa sama tidak menghalang pelaburan dari republik itu sekiranya ia dilaksanakan.

"Ini kerana walaupun jajaran baharu berkemungkinan tidak membabitkan stesen di republik itu, ia pasti turut memberi manfaat kepada rakyat mereka yang berada di negara ini," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Badan Perhubungan UMNO Johor di sini, hari ini.

Terdahulu, Muhyiddin mengumumkan pembatalan projek berkenaan kerana tiada kata putus dapat dicapai antara kedua-dua negara, selain pembatalan projek itu turut menyaksikan Malaysia perlu membayar pampasan dianggarkan berjumlah RM300 juta kepada Singapura.

Hasni berkata, Johor percaya kerajaan pusat mempunyai perancangan baharu yang lebih baik bagi menggantikan projek berkenaan yang sudah dibatalkan.

"Pembinaan projek HSR akan membabitkan laluan sepanjang lebih 300 kilometer dengan Johor menempatkan sebahagian besar daripada jajaran dan stesen.

"Kerajaan negeri berharap sebarang perbincangan baharu membabitkan projek itu akan mengambil kira pandangan Johor dalam memastikan rakyat negeri ini mendapat manfaat dan limpahan daripada pelaksanaannya," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata diharap kerajaan pusat akan mempertimbangkan bagi mengambil kira keperluan untuk melengkapkan rangkaian rel di negeri ini dalam sebarang perancangan baharu.

"Ketika ini, terdapat dua projek rel di Johor iaitu Projek Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura dan Projek Landasan Kereta Api Berkembar Gemas-Johor Bahru.

"Jadi sekiranya perancangan HSR dibuat, kerajaan negeri berharap ia akan mengambil kira jajaran lain bagi melengkapkan rangkaian rel di negeri ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 January 2021 @ 2:08 PM