USAHA mencari dan menyelamat mangsa yang  dikhuatiri lemas ketika memancing di Kuala Tatau. FOTO ERIKA GEORGE
USAHA mencari dan menyelamat mangsa yang dikhuatiri lemas ketika memancing di Kuala Tatau. FOTO ERIKA GEORGE
Erika George


Tatau: Seorang kanak-kanak lelaki hilang ketika menyelam untuk melepaskan mata kail yang tersangkut di Kuala Tatau di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 petang itu, Affanirul Abdullah, 12, dikatakan memancing di tebing sungai bersama dua rakannya.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tatau berkata, mangsa dilihat turun dan menyelam air selepas mendapati mata kailnya tersangkut.

"Bagaimanapun, selepas beberapa minit, mangsa tidak muncul semula ke permukaan sungai, sebaliknya dua rakan mangsa ternampak buih air keluar di permukaan air," katanya.

Katanya, sepasukan anggota dari BBP Tatau bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan berhubung kejadian.

"Pada mulanya, usaha pencarian dijalankan oleh penduduk kampung sebelum dibantu pasukan BBP Tatau.

"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) akan diteruskan esok dengan meluaskan lagi radius kawasan pencarian," katanya.

Kuala Tatau adalah kawasan sungai yang banyak dihuni buaya serta lokasi tumpuan golongan pemancing.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 January 2021 @ 8:17 PM