LELAKI selamat walaupun keretanya ditimpa pokok tumbang di Jalan Manja 3, Villa Manja, Bandar Manjalara, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO ihsan bomba.
LELAKI selamat walaupun keretanya ditimpa pokok tumbang di Jalan Manja 3, Villa Manja, Bandar Manjalara, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO ihsan bomba.
Nor Azizah Mokhtar


EMPAT kereta rosak akibat ditimpa pokok tumbang dalam dua kejadian berasingan di ibu negara dan Petaling Jaya, susulan angin kuat dan hujan lebat, petang hari ini.

Di ibu negara, seorang lelaki terselamat selepas kereta dipandunya ditimpa pokok tumbang di Jalan Manja 3, Villa Manja, Bandar Manjalara.

Bomba yang menerima panggilan kecemasan pada 5.40 petang, menghantar empat anggotanya dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jinjang bersama satu jentera ke lokasi untuk kerja menyelamat.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, Khirudin Drahman, berkata anggota bomba yang sampai ke lokasi kejadian pada 5.53 petang mengalihkan pokok yang tumbang itu untuk mengeluarkan mangsa.

“Kerja mengeluarkan mangsa mengambil masa 10 minit.

“Mangsa yang terperangkap di dalam kereta dikeluarkan dan dia selamat tanpa sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, di Petaling Jaya, tiga kereta rosak dalam kejadian pokok tumbang di kawasan Kompleks Mahkamah Petaling Jaya.

Bomba yang menerima laporan pada 6.54 petang menghantar sepasukan tujuh anggota dari BBP Seksyen 7 Petaling Jaya ke lokasi untuk mengalihkan pokok tumbang.

Tiga kenderaan yang terjejas adalah kerta Perodua Myvi, Honda Accord dan Proton Iriz dan kejadian tidak membabitkan mangsa.

Dalam pada itu, JBPM Selangor menerima lima lagi laporan pokok tumbang berlaku di beberapa daerah lain.

Kejadian dilaporkan berlaku di Jalan PJU 8/3A Damansara Perdana; kawasan Tanah Perkuburan Bukit Permata, Selayang; Jalan 11 Taman Abdul Razak, Ampang antara 5.30 petang sehingga 7 malam.

Kejadian pokok tumbang turut dilaporkan berlaku di Railway Gate, Serendah dan Lorong Bunga Raya, Universiti Selangor (UNISEL), Bestari Jaya.

Bagaimanapun, lima kejadian pokok tumbang itu tidak membabitkan kerosakan harta benda atau kecederaan pada orang awam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Jun 2018 @ 11:16 PM