SULTAN Sharafuddin Idris Shah. FOTO Arkib NSTP
SULTAN Sharafuddin Idris Shah. FOTO Arkib NSTP
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan semua pemimpin tidak mengira fahaman politik, untuk sama-sama menggembleng tenaga dan fokus kepada usaha demi memastikan kesejahteraan hidup rakyat.

Baginda bertitah sedemikian dalam titah perutusan Tahun Baharu 2021 yang dikongsikan di Facebook, Selangor Royal Office hari ini.

Dalam titah berkenaan, baginda dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menzahirkan ucapan Selamat Tahun Baharu 2021 kepada rakyat Selangor khususnya, dan seluruh rakyat negara ini amnya.

Dalam titahnya, Sultan Selangor menasihatkan agar pemimpin tidak bertelagah dan pentingkan diri sendiri.

"Apabila ekonomi sesebuah negara berkembang dan makmur, maka ekonomi dan pendapatan rakyat akan turut meningkat dan kukuh," titah baginda.

Sultan Sharafuddin juga berharap agar 2021 akan membawa lebih banyak kecemerlangan dan kejayaan kepada sekalian rakyat dalam segenap aspek.

Baginda juga sentiasa mendoakan agar wabak berbahaya Covid-19 yang masih berleluasa ini akan dapat dihapuskan dengan segera agar rakyat dapat menjalani kehidupan seperti biasa.

"Semoga tahun 2021 akan menjadi tahun yang lebih baik buat semua rakyat berbilang bangsa dan agama di Malaysia," titah baginda.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Disember 2020 @ 9:39 PM