SULTAN Sharafuddin,Tengku Permaisuri Norashikin dan Tengku Amir Shah melihat model rumah sambil diberi penerangan oleh Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Noraida Mohd Yusof (kiri) di Majlis Perasmian Bangunan Ibu Pejabat Korporat PKNS. FOTO Roslin Mat Tahir

Siti Nor Amirah Abu Bakar

SULTAN Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan merasmikan Ibu Pejabat Korporat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Shah Alam, hari ini.

Keberangkatan tiba baginda di ibu pejabat baru PKNS pada 9.30 pagi disambut Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Noraida Mohd Yusof.

Dalam titahnya, baginda berkenan supaya PKNS meneruskan usaha untuk membina perumahan mampu milik bagi membantu mereka yang berpendapatan rendah.

"Beta melihat PKNS adalah satu-satunya pembangunan negeri yang membantu golongan Melayu berpendapatan rendah.

"Keadaan orang Melayu bertambah merosot dengan penghijrahan penduduk dari luar bandar ke pusat bandar Kuala Lumpur serta penghijrahan penduduk dari luar Selangor untuk mencari rezeki di Selangor.

"Orang Melayu ketika itu tidak mempunyai rumah atau tanah serta kediaman yang sempurna di mana mereka tinggal di rumah setinggan yang tidak dibina dengan elok, tidak selamat diduduki serta tidak terurus dan tidak teratur," titah baginda.

SULTAN Sharafuddin bermesra dengan kanak-kanak Taska Mutiara PKNS selepas Majlis Perasmian Bangunan Ibu Pejabat Korporat PKNS. FOTO Roslin Mat Tahir
SULTAN Sharafuddin bermesra dengan kanak-kanak Taska Mutiara PKNS selepas Majlis Perasmian Bangunan Ibu Pejabat Korporat PKNS. FOTO Roslin Mat Tahir

Baginda bertitah, PKNS membina rumah kos rendah, memberi lot tapak rumah kepada yang layak dan membuka perkampungan baru yang tersusun.

"PKNS juga sudah lama menguruskan pinjaman dengan cara ansuran rendah dan berpatutan.

"Oleh itu, peranan PKNS yang ditubuhkan oleh Allahyarham Datuk Harun Idris ini adalah untuk mempercepatkan proses kepada orang Melayu yang layak untuk mendapatkan rumah kos rendah atau tanah yang diuruskan di satu tempat saja," titah baginda.

Sultan Sharafuddin bertitah demikian ketika merasmikan bangunan Ibu Pejabat PKNS di Shah Alam, hari ini.

Turut berkenan berangkat ke majlis itu Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Ogos 2017 @ 3:26 PM