Nor Fazlina Abdul Rahim

Kota Bharu: Kementerian Wilayah Persekutuan akan melancarkan projek pembinaan Residensi Prihatin membabitkan 12,000 unit di sekitar Putrajaya pada 22 Februari ini.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, kesemua unit kediaman yang berharga di bawah RM200,000 itu akan dibina di beberapa lokasi di Putrajaya dan dijangka siap dalam tempoh 24 hingga 30 bulan.

Katanya, 12,000 unit kediaman itu adalah projek perintis Residensi Prihatin sebelum ia diteruskan di Labuan dan Kuala Lumpur membabitkan keseluruhan sembilan lokasi.

"Kira-kira 8,000 daripada jumlah keseluruhan unit rumah itu adalah daripada projek yang sebahagiannya tergendala menerusi Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) sebelum diubah suai kepada Residensi Prihatin dengan persetujuan kabinet.

"Sehari selepas pelancaran projek berkenaan, kita akan membuka permohonan melalui portal KWP bagi mereka yang berminat untuk mendapatkan kediaman berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media pada program penyerahan hamper Tahun Baharu Cina di Taman Puspa, Kok Lanas di sini, hari ini.

ANNUAR (kiri) menyampaikan sumbangan Tahun Baru Cina kepada penduduk di Taman Puspa Jaya. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
ANNUAR (kiri) menyampaikan sumbangan Tahun Baru Cina kepada penduduk di Taman Puspa Jaya. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Mengulas lanjut, Annuar berkata, kakitangan awam dan golongan muda yang sudah berkeluarga antara yang akan diberi keutamaan untuk memiliki kediaman berkenaan.

"Mereka yang berpendapatan keluarga RM5,000 dialu-alukan untuk memiliki kediaman berkenaan yang dilengkapi tiga bilik dan dua bilik air.

"Pada masa sama, mereka yang gagal membeli rumah terdahulu menerusi Program Rumah Wilayah berharga RM300,000 boleh memohon untuk Residensi Prihatin ini.

"Kita sudah menyemak data serta statistik dan mendapati ramai yang tidak dapat meneruskan pembelian di bawah Program Rumah Wilayah. Namun, mereka perlu membuat pendaftaran semula," katanya.

GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Februari 2021 @ 3:19 PM