TAN Sri Annuar Musa melancarkan Residensi Prihatin sambil disaksikan Datuk Seri Rosida Jaafar (kiri) di Kementerian Wilayah Persekutuan hari ini. FOTO Bernama
TAN Sri Annuar Musa melancarkan Residensi Prihatin sambil disaksikan Datuk Seri Rosida Jaafar (kiri) di Kementerian Wilayah Persekutuan hari ini. FOTO Bernama
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) komited membantu golongan B40 di Kuala Lumpur dan Putrajaya untuk memiliki rumah pertama menerusi pengenalan Residensi Prihatin.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, sebanyak 12,253 unit rumah sedang dalam perancangan untuk dibina di Putrajaya, membabitkan 10 tapak projek di Presint 5, 7, 11, 16 dan 19, yang dijangka siap sepenuhnya menjelang 2025.

Katanya, rumah berkenaan yang berkeluasan 750 kaki persegi dilengkapi tiga bilik tidur, dua bilik air, dapur, ruang tamu dan makan serta laman, selain berbentuk rumah berstrata.

"Bagi memastikan kumpulan sasar yang tepat beroleh manfaat terbabit, permohonan Residensi Prihatin ini memberi penekanan kepada pemohon bagi rumah pertama dan masih belum memiliki rumah.

"Keutamaan turut diberikan kepada penjawat awam dan pembeli yang terdiri daripada kumpulan keluarga muda.

"Di samping itu, penetapan syarat minimum 60 peratus daripada jumlah unit pembangunan ini akan diperuntukkan kepada kuota Bumiputera bagi mengatasi masalah pemilikan rumah oleh kumpulan B40," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pembangunan Residensi Prihatin ini meliputi kemudahan seperti surau, dewan serbaguna, tadika, taska, ruang niaga, gelanggang badminton, taman permainan kanak-kanak dan tempat letak kereta berbumbung bagi memastikan persekitaran hidup kondusif dan berkualiti.

Katanya, individu yang lahir, menetap dan bekerja di Wilayah Persekutuan yang berminat untuk memiliki unit Residensi Prihatin ini, boleh membuat pendaftaran permohonan secara atas talian di portal Residensi Prihatin https://residensiprihatin.kwp.gov.my bermula esok.

"Permohonan terbuka kepada mereka yang mempunyai pendapatan kasar tidak melebihi RM5,000 sebulan dan keutamaan akan diberikan kepada pemohon belia yang sudah berkahwin.

"Bagi memastikan kumpulan sasar yang tepat beroleh manfaat ini, permohonan Residensi Prihatin memberi penekanan kepada pemohon bagi rumah pertama dan masih belum memiliki rumah," katanya.

Katanya, pihaknya berharap pelaksanaan program di bawah Cakna Perumahan ini dapat mengatasi isu kesukaran pemilikan rumah di Wilayah Persekutuan terutama kepada golongan muda.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Februari 2021 @ 3:36 PM