Keadaan sampah di kawasan Teluk Kalong susulan banjir yang melanda daerah Kemaman sejak Khamis lalu. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
Keadaan sampah di kawasan Teluk Kalong susulan banjir yang melanda daerah Kemaman sejak Khamis lalu. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
Zatul Iffah Zolkiply

Chukai: Gelombang keempat banjir yang melanda daerah ini sejak Khamis lalu meninggalkan lebih 30 tan sampah di kawasan terjejas.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), Jusman Ibrahim berkata, pihaknya menjangkakan kerja-kerja pembersihan itu mengambil masa satu minggu untuk dibersihkan.

Katanya, kerja-kerja pembersihan sudah dimulakan pada Ahad lalu dengan proses pembersihan itu membabitkan hampir 200 kakitangan MPK selain turut dibantu agensi lain seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan sukarelawan.

"Ketika ini, kita giat melakukan kerja-kerja pasca pembersihan bagi mengelak kesulitan kepada penduduk yang terjejas selain mengelak berlakunya penyakit berjangkit kesan daripada bencana banjir.

"Bagaimanapun, kita berdepan sedikit kesukaran ketika kerja-kerja pembersihan kerana sampah sarap ini bercampur dengan lumpur. Apabila lumpur itu keras, ia menyukarkan kita untuk membersihkan sehingga terpaksa mendapatkan bantuan bomba bagi memastikan kerja-kerja pembersihan berjalan lancar.

"Kita akan terus melakukan kerja-kerja penyelenggaraan di setiap saliran khususnya di kawasan yang sering terjejas dengan banjir bagi menghadapi gelombang banjir yang akan datang," katanya.

Menerusi gelombang keempat banjir yang melanda Terengganu sejak Khamis lalu, lebih 8,000 mangsa banjir direkodkan membabitkan empat daerah iaitu Dungun, Kemaman, Hulu Terengganu dan Setiu.

Daripada jumlah itu, Kemaman menjadi daerah yang paling teruk terjejas dengan lebih 7,000 mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara.


Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Disember 2020 @ 4:36 PM