Faliq Lajim

POLIS sudah mengenal pasti mayat dipercayai mangsa bunuh yang ditemui di Pengkalan Nelayan Kampung Sungai Sireh Tambahan 2, Pelabuhan Klang, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, hasil bedah siasat yang dilakukan Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) mendapati mangsa lelaki berusia 56 tahun warga tempatan.

"Hasil siatan mendapati mangsa tidak bersunat dan mempunyai tanda suntikan imunisasi BCG (Bacillus Calmette Guerin). Cap jari juga sudah diperolehi.

"Mayat juga dipercayai sudah mati antara lima hingga ke tujuh hari sebelum mayatnya ditemui terapung.

"Punca kematian juga tidak dapat dipastikan berikutan badan lelaki itu sudah reput manakala tiada sebarang kecederaan pada badannya," katanya.

Shamsul Amar berkata, hasil siastan pihaknya juga mendapati mangsa turut mempunyai 10 rekod jenayah lampau.

"Enam kes membabitkan Seksyen 420 Kanun Keseksaan, dua kes membabitkan Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta masing-masing satu kes Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 15 Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA)," katanya.

Shamsul Amar berkata, beliau sudah menggerakkan anggotanya untuk mengesan keluarga mangsa.

"Kita masih siasat motif kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Polis memohon orang awam yang kehilangan atau tidak dapat menghubungi mana-mana ahli keluarga mereka untuk tampil ke balai polis bagi membantu siasatan,” katanya.

Terdahulu, NSTP melaporkan mayat individu tidak dikenali yang dipercayai mangsa bunuh ditemui di Pengkalan Nelayan Kampung Sungai Sireh Tambahan 2.

Ketika ditemui mayat itu dalam keadaan berbalut dengan selimut tebal dan diikat dalam kejadian 6.40 petang, Isnin lalu.

Berita berkaitan:

  • Mayat berbungkus terapung
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Disember 2018 @ 6:47 PM