KAMARUDIN (kanan) mengadakan lawatan produk dihasilkan peserta Program Pembangunan Kemahiran Komuniti (PPKK) Kraf Batik dan Jahitan di Pusat Kejiranan Presint 9. FOTO Samadi Ahmad
KAMARUDIN (kanan) mengadakan lawatan produk dihasilkan peserta Program Pembangunan Kemahiran Komuniti (PPKK) Kraf Batik dan Jahitan di Pusat Kejiranan Presint 9. FOTO Samadi Ahmad
Samadi Ahmad

Putrajaya: Perbadanan Putrajaya (PPj) menyediakan pelbagai kemudahan dan bantuan bagi meningkat ekonomi peserta Program Pembangunan Kemahiran Komuniti (PPKK) di pusat pentadbiran kerajaan itu.

Naib Presiden (Perkhidmatan Bandar) PPj, Kamarudin Dolmat berkata, program diadakan sejak tahun 2019 itu berjaya melahirkan ramai peserta terdiri dari bidang kulinari, bakeri, jahitan dan produk kraf batik.

Katanya, PPj juga membantu menyediakan pusat jualan usahawan PPKK di Putra Point, Presint 16 selain membantu memasarkan jualan secara dalam talian sejak pandemik Covid-19 melanda negara,

"Kami juga bercadang mengadakan Karnival Usahawan Putrajaya yang dijangka diadakan Ogos tahun depan bagi membantu memasarkan dan mengetengahkan produk dihasilkan komuniti di sini," katanya pada Majlis Penutup Program Pembangunan Kemahiran Komuniti (PPKK) Kraf Batik dan Jahitan di Pusat Kejiranan Presint 9 di sini, tadi.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan), Kraftangan Malaysia, Ainu Sham Ramli dan Pengarah Kraftangan Malaysia Cawangan Selangor dan Wilayah Persekutuan, Shazwan Abdul Rahim.

Seramai 20 peserta berjaya menamatkan PPKK Kraf Batik dan Jahitan melalui makmal pengeluaran produk kraf batik dan jahitan batik.

Kamarudin berkata, PPKK menawarkan inisiatif program latihan kemahiran kraf disediakan kerajaan melalui Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) kepada Kraftangan Malaysia untuk membangunkan dan memperkasa komuniti kraf terbabit dalam perusahaan kraf untuk menjana pendapatan utama atau sampingan.

Katanya, program PPPKK memasuki fasa keempat itu terbuka kepada belia, asnaf, golongan kategori B40, suri, ibu tunggal, orang kurang upaya (OKU) dan warga emas yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Sementara itu, Ainu Sham berkata, produk batik PPKK Putrajaya menjadi antara barangan terlaris di pasaran membabitkan jualan pelitup muka dan beg yang menonjolkan ikonik jambatan di Putrajaya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Disember 2020 @ 7:52 PM