Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Festival Kraf Johor (FKJ) 2022 yang masuk tahun kesembilan penganjurannya tahun ini menampilkan 217 usahawan kraf yang membawa produk terbaik kepada pengunjung.

Mereka yang terbabit terdiri daripada usahawan kraf dalam bidang tekstil, hasil rimba, hasil logam, hasil tanah dan aneka kraf lain dari seluruh negara.

Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, 'Ainu Sham Ramli berkata, selain menjadi medan bagi pertemuan penggiat industri kraf, pelancongan dan lain-lain industri berkaitan, FKJ 2022 turut menjadi platform menyalurkan maklumat terkini mengenai industri kraf negara kepada masyarakat umum.

"Penganjuran FKJ 2022 ini adalah antara aktiviti yang dirancang di bawah Teras Pemerkasaan Komuniti Kraf dan sebagai usaha kita mempromosi dan memasarkan produk kraf terus kepada pengguna.

"Festival ini turut menjadi platform menyalurkan maklumat terkini mengenai industri kraf negara bagi memupuk minat dan kesedaran pengguna terhadap produk kraf tempatan.

"Ia juga menjadi marquee event di selatan tanah air yang telah dilaksanakan sejak 2011 hingga 2019 dan terhenti seketika ketika pandemik melanda negara," katanya.

‘AINU Sham ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Perasmian FKJ 2022 Di Pentas Utama Festival Kraf Johor di Angsana Mall Johor Bahru.
‘AINU Sham ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Perasmian FKJ 2022 Di Pentas Utama Festival Kraf Johor di Angsana Mall Johor Bahru.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian FKJ 2022 yang disempurnakan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Saraya Arbi di Padang (A) Akasia, Angsana Johor Bahru Mall di sini, kelmarin.

Menurut 'Ainu Sham, festival yang berlangsung selama sebelas hari bermula Jumaat lalu hingga 26 Disember ini disasarkan dapat mengumpulkan nilai jualan sebanyak RM7.5 juta dan dijangka menerima seramai 50,000 orang pengunjung.

Katanya, selain jualan kraf, FKJ 2022 turut diserikan dengan pelbagai aktiviti menarik seperti pameran khas Ini Batik Malaysia, pameran dan jualan komuniti kraf, pameran Institut Kraf Negara dan Pameran Adiguru Kraf 2022.

"Kita juga menyediakan ruang pameran MYCRAFTSHOPPE, demonstrasi dan interaktif kraf Batik Malaysia, wacana kraf 'Ini Batik Malaysia', cita rasa Malaysiaku, aktiviti galakan pengunjung serta khidmat iring," katanya.

Bagi seorang usahawan kraf yang mengambil bahagian, Hamizan Mohd Amin, 53, dia berharap penganjuran festival kraf seumpama itu dapat diteruskan di masa akan datang dan diperluaskan lagi di seluruh negara bagi membolehkan usahawan industri kraf mengembangkan bakat dan perniagaan mereka.

"Saya boleh katakan festival kraf ini tempat untuk usahawan kraf mendapatkan pelanggan kerana ada antara kami yang tidak mampu untuk membuka kedai.

"Saya harap pada masa akan datang, festival ini dapat diperluaskan dan kita mahu lebih ramai orang mengenali perniagaan kita kerana di sini (festival), kita akan dapat mengumpulkan pelanggan," katanya yang sudah tiga kali menyertai FKJ di Johor.

Hamizan mengusahakan perniagaan yang menggunakan teknik kraf decoupage bersama empat rakannya sejak lima tahun lalu.

Teknik kraf itu menggunakan tisu bermotif (printed tissue) yang ditampal dan digayakan mengikut kreativiti di pelbagai jenis permukaan kayu, plastik atau kaca atau pada barangan seperti botol air, beg tangan, mangkuk tingkat, tudung saji dan sebagainya.

 USAHAWAN kraf  bawa produk yang terbaik kepada pengunjung.
USAHAWAN kraf bawa produk yang terbaik kepada pengunjung.

PENGUNJUNG tidak melepaskan peluang membeli-belah barangan berkualiti yang dijual di Festival Kraf Johor 2022.
PENGUNJUNG tidak melepaskan peluang membeli-belah barangan berkualiti yang dijual di Festival Kraf Johor 2022.

Sementara itu, pemilik perniagaan Asli Makintan Enterprise dari Kampung Orang Asli Sungai Buloh, Selangor, Hanim Apeng, 51, berkata, menyertai Kraftangan Malaysia banyak membantunya mempelajari cara menghasilkan sesuatu produk yang lebih bermutu.

"Perniagaan saya ini adalah hasil kraftangan Orang Asli, maka saya mempunyai platform mempelajari serba sedikit bagaimana untuk hasilkan sesuatu yang lebih baik.

"Cabaran dalam industri kraf ini bagi saya banyak, antaranya yang membabitkan kami komuniti Orang Asli kerana kami ramai yang tinggal di pedalaman.

"Sebenarnya yang tinggal di pedalaman ini, kami kreatif dan boleh hasilkan kraftangan yang cantik, cuma masalahnya adalah cara memasarkan produk kami," katanya yang mempunyai kemahiran mengayam mengkuang dan buluh sejak kecil lagi hasil tunjuk ajar ibunya.

Hanim berkata, FKJ banyak membantu memasarkan produk hasil Orang Asli sehingga kini mempunyai peminat tersendiri.

"Alhamdulillah, apabila menyertai FKJ, hasil kraf kami sudah ramai yang pandang dan kagum dengan hasil produk Orang Asli ini," katanya yang memulakan perniagaan sejak tiga tahun lalu.

HANIM Apeng menunjukkan produk hasil kraftangannya di Festival Kraf Johor 2022. FOTO IZZ LAILY HUSSEIN
HANIM Apeng menunjukkan produk hasil kraftangannya di Festival Kraf Johor 2022. FOTO IZZ LAILY HUSSEIN

HAMIZAN mengusahakan perniagaan  guna teknik kraf decoupage bersama empat rakannya.
HAMIZAN mengusahakan perniagaan guna teknik kraf decoupage bersama empat rakannya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Disember 2022 @ 12:08 PM
FESTIVAL Kraf Johor 2022 di Angsana Mall Johor Bahru. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
FESTIVAL Kraf Johor 2022 di Angsana Mall Johor Bahru. FOTO NUR AISYAH MAZALAN