Dziyaul Afnan Abdul Rahman

Kangar: Lapan individu termasuk kanak-kanak lelaki ditahan berikutan penemuan ketulan mampat dipercayai ganja dan daun ketum dianggarkan bernilai lebih RM600,000 dalam serbuan di Padang Besar, di sini, pada Isnin lalu.

Serbuan dilakukan di sebuah rumah oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman susulan dua tangkapan di Selangor dan Negeri Sembilan pada hari sama.

Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Deputi Komisioner Zainudin Ahmad berkata, pihaknya menahan lapan individu termasuk dua wanita dan seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 hingga 51 tahun.

"Dalam serbuan itu, kita menjumpai ketulan mampat dipercayai dadah jenis ganja dengan berat 250.25 kilogram (kg) dan 770 kg daun ketum yang disembunyikan di dalam rumah suspek.

"Kesemua rampasan berkenaan dianggarkan berjumlah RM640,000," katanya kepada pemberita dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis, di sini, hari ini.

ZAINUDIN (dua kiri) bersama Ketua Polis Perlis, Surina menunjukkan dadah dan ketum yang dirampas di sebuah rumah di Padang Besar. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman
ZAINUDIN (dua kiri) bersama Ketua Polis Perlis, Surina menunjukkan dadah dan ketum yang dirampas di sebuah rumah di Padang Besar. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman

Katanya, siasatan awal mendapati kediaman yang diserbu itu dijadikan sebagai pusat transit bekalan ganja dan daun ketum untuk pasaran Kuala Lumpur dan Selangor.

"Kesemua suspek yang ditahan juga terdiri daripada ahli keluarga dan kenalan, namun dua daripadanya iaitu lelaki berusia 41 dan 51 tahun dipercayai suspek utama.

"Dua lelaki terbabit direman sehingga Ahad ini, manakala suspek lain dibebaskan dengan jaminan polis.

"Kita percaya dua suspek lelaki ini adalah rangkaian pengedaran dadah di Selangor serta Negeri Sembilan dan mereka sudah bergiat aktif sejak enam bulan lalu," katanya.

Menurutnya, siasatan juga mendapati dua lelaki terbabit berperanan untuk mengurus masuk bekalan dadah dari negara jiran untuk ditempatkan di rumah mereka sebelum diedarkan ke Lembah Klang.

Katanya, pihak polis turut merampas dua kereta dan motosikal di kediaman suspek dan kesemua rampasan termasuk dadah dan daun ketum dianggarkan bernilai RM830,000.

"Dadah yang dirampas ini dipercayai mampu digunakan untuk 528,000 penagih dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Februari 2021 @ 1:54 PM