SEBANYAK 299 botol ubat batuk dan 20 kg daun ketum cuba disembunyikan dalam sebuah kepala treler di Padang Besar sebelum ditahan AKSEM Padang Besar di Padang Besar. FOTO Aksem PADANG BESAR
SEBANYAK 299 botol ubat batuk dan 20 kg daun ketum cuba disembunyikan dalam sebuah kepala treler di Padang Besar sebelum ditahan AKSEM Padang Besar di Padang Besar. FOTO Aksem PADANG BESAR
Aizat Sharif


Padang Besar: Sebanyak 299 botol ubat batuk dan 20 kilogram (kg) daun ketum yang cuba diseludup keluar ke Thailand berjaya dirampas Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) di sini, hari ini.

Komander AKSEM Perlis, Deputi Superitendan Azizan Saman berkata, ubat batuk dan daun ketum bernilai RM133,590 itu ditemui selepas menahan sebuah treler di Padang Besar di sini.

Menurutnya, dalam kejadian 10.45 pagi, AKSEM Padang Besar menerima maklumat daripada orang awam berhubung penyeludupan daun ketum di sekitar laluan keluar masuk lori menghala ke Thailand di tempat penyimpanan kontena bersebelahan Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQS) Padang Besar.

"Anggota AKSEM yang bertugas menjalankan rondaan di kawasan itu kemudian berjaya mengesan treler tanpa muatan kontena yang disyaki itu berada di kawasan berkenaan serta dipercayai sedang cuba meninggalkan negara ini dan menghala ke Thailand.

"Treler jenis Isuzu bernombor pendaftaran Thailand dipandu oleh seorang lelaki warga Thailand berusia 40 an itu kemudian ditahan untuk pemeriksaan," katanya.

Katanya, pemeriksaan selanjutnya yang dilakukan pada kepala treler berkenaan kemudian berjaya menemui 299 botol ubat batuk dan 20 kg disyaki daun ketum yang dibalut dengan plastik putih.

"Ubat batuk dan daun ketum itu disembunyikan di beberapa sudut di tempat duduk pemandu termasuklah di lantai bahagian pemandu pada kepala lori berkenaan.

"Pemandu itu ditahan dan barang rampasan dibawa ke Kompleks AKSEM Padang Besar untuk tindakan lanjut sebelum diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Besar," katanya.

Beliau berkata, keseluruhan rampasan termasuk treler berkenaan dianggarkan bernilai RM 133,590.

Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Mei 2021 @ 8:15 PM