Murnaena Muhammad Nasir


Serdang: Sorok bungkusan dadah di dalam pakaian terpakai. Itu taktik dua lelaki warga tempatan yang juga peniaga pakaian terpakai bagi mengaburi mata pihak berkuasa dengan menjalankan aktiviti pengedaran dadah sejak sebulan lalu di sekitar Lembah Klang.

Taktik itu terbongkar selepas polis menahan dua suspek berusia 21 dan 26 tahun ketika intipan dijalankan di sekitar kawasan perumahan Putera Permai, Seri Kembangan, di sini, 14 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Razali Abu Samah berkata, kedua-dua suspek ditahan selepas didapati dalam keadaan mencurigakan dan cuba melarikan diri.

"Pemeriksaan di dalam kereta Volkswagen Touran suspek menemui di bahagian bonet belakang balutan plastik lutsinar mengandungi baju berjenama vintage yang berlipat.

"Hasil pemeriksaan lanjut terhadap baju berkenaan terdapat tiga helai kemeja-T berwarna hitam dan di dalamnya tersorok tiga bungkusan daun kering disyaki dadah berbahaya jenis ganja," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, hari ini.

Razali (dua dari kiri) menunjukkan modus operandi suspek yang menyorok tiga bungkusan dadah jenis ganja di dalam lipatan baju bagi mengaburi mata pihak berkuasa. FOTO Murnaena Muhammad Nasir
Razali (dua dari kiri) menunjukkan modus operandi suspek yang menyorok tiga bungkusan dadah jenis ganja di dalam lipatan baju bagi mengaburi mata pihak berkuasa. FOTO Murnaena Muhammad Nasir

Menurutnya, kedua-dua suspek ditahan ketika berurusan bersama pembeli dan siasatan lanjut ke atas individu berkenaan sedang dijalankan.

"Dadah jenis ganja dirampas seberat 2.96 kilogram dianggarkan bernilai RM20,000 mengikut harga pasaran semasa.

"Sumber bekalan dadah jenis ganja itu dipercayai diperoleh dari sempadan Thailand dan dianggarkan untuk digunakan oleh 400 hingga 500 penagih dadah," katanya.

Katanya, polis turut merampas tiga telefon bimbit, satu botol plastik diubah suai untuk tujuan menghisap ganja, kereta dipandu suspek, wang ringgit dan puluhan pakaian baju berjenama vintage.

"Kes disiasat di bawah seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula semalam sehingga 21 Disember dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan minimum 15 kali," katanya.

Razali berkata, kejayaan tangkapan itu juga atas kerjasama masyarakat menyalurkan maklumat kepada pihak polis dan berharap kerjasama dua hala itu sentiasa diteruskan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Disember 2020 @ 5:17 PM