GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Shamsul Munir Safini


DUA lelaki yang sedang khayal ganja diberkas polis di sebuah bengkel kereta di Kampung Kijang Alma, Bukit Mertajam yang menjadi tempat jualan ‘cakoroi’ (air ketum) di kawasan itu.

Dalam kejadian 6.30 petang Selasa lalu, sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Polis Machang Bubok menahan lelaki berusia 35 dan 45 tahun itu kerana dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, ketika melakukan rondaan pihaknya pergi ke sebuah bengkel kereta di Kampung Kijang dan melihat dua suspek berkenaan dalam keadaan mencurigakan sedang duduk di hadapan premis.

“Mereka dilihat menagih dadah dan hasil pemeriksaan ke atas salah seorang suspek polis menemui dalam genggaman tangannya satu lipatan kertas mengandungi dadah jenis ganja.

“Polis yang melakukan pemeriksaan di kawasan premis menemui satu tong ais mengandungi 50 bungkusan air ketum dipercayai untuk dijual,” katanya.

Susulan kejadian, polis menahan kedua-dua suspek sebelum menahan seorang lagi suspek berusia 37 tahun di situ yang dipercayai menjadi pelanggan air ketum selepas menemui satu botol berisi minuman berkenaan di dalam beg sandangnya.

Katanya, ketiga-tiga suspek ditahan bersama barang kes dan dibawa ke IPDSPT untuk tindakan lanjut.

Nik Ros Azhan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 30(3) Akta Racun.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mac 2019 @ 9:48 PM