ORANG ramai menghabiskan cuti hujung minggu di pantai Port Dickson susulan kerajaan membenarkan pergerakan merentas daerah. FOTO AZIAH AZMEE
ORANG ramai menghabiskan cuti hujung minggu di pantai Port Dickson susulan kerajaan membenarkan pergerakan merentas daerah. FOTO AZIAH AZMEE
Mohd Amin Jalil


Seremban: Orang ramai yang berkunjung di sekitar pantai peranginan Port Dickson dinasihatkan supaya terus berwaspada dan mengamalkan norma baharu dengan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara bagi memutuskan rantaian Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, S Veerapan berkata, pematuhan SOP adalah vaksin yang paling berkesan untuk melindungi diri dan ahli keluarga masing-masing.

Katanya, harus diingat daerah Port Dickson masih lagi dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga 20 Disember ini.

"Pada Sabtu dan Ahad lalu, pantai Port Dickson mula dikunjungi orang ramai apabila kerajaan membenarkan pergerakan rentas negeri.

"Sehingga semalam, terdapat 28 kes aktif Covid-19 di Port Dickson dan daerah itu telah diisytiharkan sebagai kawasan jingga dengan jumlah kumulatif sebanyak 235 kes positif Covid-19.

"Orang ramai dinasihatkan supaya terus mematuhi SOP iaitu memakai pelitup muka, jaga jarak satu meter, cuci tangan dan elakkan bersentuhan seperti bersalaman serta dilarang berkumpul," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, masyarakat perlu berhati-hati dan memberikan kerjasama untuk memastikan usaha memutuskan rantaian Covid-19 berjaya.

"Harus diingat, Port Dickson juga pernah mencapai status zon merah Covid-19 dan kita berharap kedudukan itu tidak berulang pada masa akan datang," katanya.

Veerapan juga meminta orang ramai menjaga kebersihan dan tidak membuang sampai merata tempat di pantai peranginan itu.

"Pengunjung diharap dapat terus menjaga kebersihan di sekitar pantai dan memastikan sampai sarap tidak ditinggalkan sesuka hati di kawasan pantai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Disember 2020 @ 12:19 PM