SUASANA di Pantai Teluk Kemang, semalam. FOTO Mohd Khidir Zakaria
SUASANA di Pantai Teluk Kemang, semalam. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Mohd Amin Jalil


Seremban: Kerajaan negeri mengingatkan orang ramai di lokasi pelancongan supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) selepas Negeri Sembilan beralih daripada Fasa Satu kepada Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) sekali gus memberi peluang rakyat negeri itu mengunjungi pusat dan pantai peranginan.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pihaknya mendapati kedatangan pengunjung di lokasi pelancongan negeri sejak Jumaat lalu adalah di luar jangkaan.

"Sebagai contoh di Port Dickson, beberapa pantai peranginan mula dikunjungi orang ramai bersama keluarga antaranya Pantai Teluk Kemang, Pantai Saujana, Pantai Tanjung Biru dan Pantai Bagan Pinang, selain beberapa pusat riadah berhampiran Seremban dan Kuala Pilah seperti di Hutan Rekreasi Ulu Bendul.

"Bagi memastikan keselamatan pengunjung serta mengelakkan penularan pandemik Covid-19, pihak Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) mengambil inisiatif melaksanakan pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di pantai peranginan di Port Dickson," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Hotel-Hotel Malahysia (MAH) Negeri Sembilan, Haziz Hassan, ketika dihubungi berkata, walaupun pengunjung dalam kalangan rakyat Negeri Sembilan mula datang ke kawasan Port Dickson, bilangan hotel yang dibuka masih terhad.

Katanya, hanya kira-kira 10 hotel sahaja yang sudah memulakan operasi manakala yang lain bersikap berhati-hati berikutan kes Covid-19 di seluruh negara masih merekodkan jumlah tinggi.

"Pengusaha hotel tidak mahu terburu-buru untuk terus membuka operasi mereka walaupun Negeri Sembilan sudah beralih Fasa Dua PPN, namun saya rasakan mungkin bermula awal September ini pembukaan hotel akan dibuat secara berperingkat.

"Ini kerana mereka perlu menyediakan SOP yang ketat bagi mengelak penularan COVID-19 susulan kanak-kanak yang belum menerima suntikan vaksin," katanya.

Haziz berkata, pengusaha hotel berusaha sebaik mungkin untuk mengelak berlakunya aktiviti berkumpulan yang mungkin boleh terdedah kepada penularan wabak berkenaan.

"Mereka enggan menanggung risiko andai kelonggaran diberi kepada pengunjung yang boleh mengundang kepada penularan Covid-19 sekali gus menjejaskan keselamatan orang lain," katanya, yang turut gembira apabila mendapati pantai di Port Dickson mula dikunjungi orang ramai.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Ogos 2021 @ 11:20 AM