ORANG ramai mengisi masa lapang sempena cuti umum Deepavali melakukan aktiviti kekeluargaan mencari kepah di pantai Tanjong Lumpur. Pantai berlumpur di situ sememangnya menjadi habitat hidupan kerangan seperti kepah, bagek serta lonjak dan usaha mencarinya hanya dilakukan semasa air surut. FOTO Bernama
ORANG ramai mengisi masa lapang sempena cuti umum Deepavali melakukan aktiviti kekeluargaan mencari kepah di pantai Tanjong Lumpur. Pantai berlumpur di situ sememangnya menjadi habitat hidupan kerangan seperti kepah, bagek serta lonjak dan usaha mencarinya hanya dilakukan semasa air surut. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pantai dan tasik antara yang menjadi tumpuan orang ramai sempena cuti ganti perayaan Deepavali hari ini untuk beriadah di samping melepaskan lelah atau digelar sebagai healing oleh generasi muda kini.

Tinjauan Bernama di ibu negara mendapati ramai yang memilih Taman Tasik Titiwangsa sebagai tempat berkumpul dan beriadah bersama ahli keluarga.

Seorang pengunjung, Fazlin Nor Jah, 42, berkata, beliau memanfaatkan cuti untuk berkumpul bersama keluarga memandangkan masing-masing sibuk dengan urusan kerja pada hari biasa.

"Kami lapan keluarga pilih tempat ini kerana dekat dengan rumah emak iaitu di Taman Melawati, jadi mudah untuk berkumpul," katanya yang bekerja sebagai juruaudit di sebuah syarikat swasta.

Di PAHANG, pantai peranginan popular Teluk Cempedak menjadi tumpuan pengunjung untuk bersiar-siar dan bermain air.

Pekerja am R Kumar, 41, dari Mentakab, kira-kira 148 kilometer dari Kuantan, mengambil kesempatan berkunjung ke kawasan pelancongan berkenaan sebelum ke kuil di Maran untuk bersembahyang.

"Saya sekeluarga hendak ke kuil di Maran untuk bersembahyang tetapi memikirkan sudah lama tidak membawa anak-anak berjalan menyebabkan saya dan isteri memutuskan untuk ke Kuantan dahulu sebelum singgah di Maran dalam perjalanan balik pada sebelah petang," katanya.

Pekerja sendiri Nur Muhammad Mohd Zanini, 29, dari Kota Bharu, Kelantan berkata beliau dan keluarga mengambil kesempatan cuti hujung minggu yang panjang di negeri itu untuk pulang ke kampung isteri di Chenor, Maran serta memilih bermalam semalaman di Kuantan sebelum meneruskan perjalanan pulang hari ini.

Di NEGERI SEMBILAN, tinjauan di Pantai Teluk Kemang, Port Dickson mendapati pantai peranginan itu turut menjadi tumpuan orang ramai bagi meluangkan masa bersama keluarga.

Pengunjung dari Kuala Lumpur, Hafiz Ismail, 42, berkata beliau bersama empat ahli keluarganya sering ke kawasan pelancongan itu jika mempunyai masa terluang kerana berdekatan dengan ibu negara.

"Memang kalau cuti datang ke sini, dekat dengan Kuala Lumpur… kami datang awal sekitar 8 pagi sebab nak elak kesesakan, anak nak mandi laut, jadi kami rasa Port Dickson adalah lokasi sesuai," katanya.

Pengerusi Persatuan Hotel-Hotel Malaysia (MAH) Negeri Sembilan Haziz Hassan pula berkata, tempahan bilik hotel di Port Dickson pada hujung minggu ini meningkat 80 hingga 100 peratus sekali gus memberi pulangan yang baik kepada sektor perhotelan negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 November 2023 @ 7:01 PM