Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti dua lagi kluster baharu Covid-19 di Selangor dan Kuala Lumpur hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kluster Solar Ria berkaitan tempat kerja di daerah Sepang, Kuala Selangor, Gombak, Petaling dan Hulu Langat di Selangor.

Menurutnya, kes indeks bagi kluster itu (kes ke-73,366) dilaporkan positif Covid-19 pada 7 Disember lalu melalui saringan sebelum pulang ke negara asal di mana sehingga hari ini 2,339 orang sudah disaring dengan 25 kes dikesan positif Covid-19.

Katanya, kluster itu membabitkan sembilan warganegara dan 16 bukan warganegara.

"Satu lagi kluster baharu adalah Kluster Senu Setia yang turut membabitkan tempat kerja dikesan di daerah Kepong di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

"Kes indeksnya (kes ke-83,123) dilaporkan positif Covid-19 pada 13 Disember lalu melalui saringan sebelum pulang ke negara asal," katanya pada sidang media harian Covid-19, hari ini.

GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

Dr Noor Hisham berkata, sehingga hari ini seramai 26 individu sudah disaring dan 13 daripadanya dikesan positif Covid-19 dengan kesemua kes dalam kluster ini adalah bukan warganegara.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Disember 2020 @ 7:06 PM