Suraya Roslan dan Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Enam kluster baharu dikenal pasti hari ini iaitu empat di Sabah dan masing-masing satu di Selangor serta Pulau Pinang.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, empat kluster di Sabah itu membabitkan Kluster Semarak, Kluster Bina, Kluster Sabindo dan Kluster Bestari.

"Kluster Semarak membabitkan kes ke-12,200 dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan individu bergejala pada 3 Oktober lalu dan dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth.

"Saringan kontak rapat mengenal pasti 13 lagi kes positif Covid-19 manakala 19 individu disaring," katanya dalam sidang media harian hari ini.

Katanya, Kluster Bina pula dikenal pasti di Beaufort, Sabah membabitkan kes indeks (kes ke-15,575) dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan kemasukan ke Hospital Sipitang pada 10 Oktober lalu dan dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth dan saringan kontak rapat mengesan 13 lagi kes positif.

"Kluster Sabindo pula dikenal pasti di Tawau membabitkan kes indeks bagi kes ke-11,897 dikenal pasti positif hasil saringan individu bergejala pada 3 Oktober lalu dan dimasukkan ke Hospital Tawau manakala saringan kontak rapat mengesan 13 lagi kes positif.

"Bagi Kluster Bestari pula dikenal pasti di Sandakan membabitkan kes indeks (kes ke-14,830) dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan individu bergejala pada 10 Oktober dan dimasukkan ke Hospital Duchess of Kent, Sandakan.

"Saringan kontak rapat mengenal pasti 18 lagi kes positif Covid-19," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, satu kluster baharu dikesan di Selangor membabitkan Kluster Bah Kenangan membabitkan daerah Hulu Langat.

"Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-11,802) dikenal pasti positif Covid- 19 hasil saringan pulang dari Kawasan Berisiko Tinggi (Sabah) pada 2 Oktober 2020 dan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh. Saringan kontak rapat mengenal pasti 17 lagi kes positif COVID-19," katanya.

Menurutnya, satu kluster turut dikesan di Penjara Jawi, Pulau Pinang dikenal pasti di Seberang Perai Selatan.

"Tiga tahanan dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan kemasukan dari Penjara Reman Timur Laut pada 11 Oktober lalu.

"Mereka semua tidak bergejala dan dimasukkan ke Pusat Rawatan Berisiko Rendah," katanya.

GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Oktober 2020 @ 7:49 PM