Raja Noraina Raja Rahim dan Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti empat kluster baharu berkaitan jangkitan Covid-19 di negara, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan kluster baharu itu menjadikan sebanyak 334 kluster dilaporkan dengan 166 kluster sudah tamat.

Menurutnya, kluster baharu iaitu Kluster Bintang membabitkan pekerja di tapak pembinaan dalam daerah Lembah Pantai di Kuala Lumpur.

"Kes bagi kluster ini dilaporkan positif pada 17 November hingga hari ini melalui saringan bersasar yang dijalankan di kawasan berkenaan.

"Sejumlah 608 individu disaring, yang mana 95 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini. Daripada jumlah itu, 94 kes membabitkan bukan warganegara dan satu warganegara," katanya dalam sidang media hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, Kluster Indah Mas dilaporkan dalam daerah Titiwangsa dan Kepong di Kuala Lumpur serta daerah Petaling di Selangor yang membabitkan 10 kes positif setakat ini.

GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA

Katanya, kes indeks (kes ke-53,452) dilaporkan positif Covid-19 hasil saringan individu bergejala pada 21 November lalu.

Bagi Kluster Teja Kasih pula, beliau berkata, ia dilaporkan dalam daerah Kampar dan Kinta di Perak yang sudah menjangkiti 41 individu.

"Kes indeks (kes ke-48,506) dilaporkan positif Covid-19 hasil saringan individu bergejala pada 16 November lalu dan setakat ini, sejumlah 130 individu disaring," katanya.

Katanya, Kluster Kobena pula dilaporkan di Johor Bahru yang sudah menjangkiti 13 individu.

"Kes indeks (kes ke-52,599) adalah kes Severe Acute Respiratory Infections (SARI) dilaporkan positif Covid-19 pada 20 November lalu dan sehingga hari ini, sejumlah 111 individu disaring," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 November 2020 @ 7:16 PM