KESEMUA Adun Negeri Sembilan selepas Belanjawan Negeri Sembilan 2023 diluluskan. FOTO Ihsan Pejabat MB
KESEMUA Adun Negeri Sembilan selepas Belanjawan Negeri Sembilan 2023 diluluskan. FOTO Ihsan Pejabat MB
Mohd Amin Jalil


Seremban: Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Negeri Sembilan sebulat suara meluluskan Belanjawan Negeri Sembilan 2023 yang memperuntukkan RM550 juta bagi membolehkan pentadbiran dan agenda pemulihan ekonomi dapat diteruskan.

Belanjawan Negeri Sembilan 2023 itu dibahaskan selama dua hari sejak Selasa lalu membabitkan 36 Ahli Dun di blok kerajaan dan pembangkang.

Belanjawan yang bertemakan Melunas Janji, Menggalas Harapan itu dibentangkan Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun pada petang Jumaat lalu.

Ia adalah belanjawan defisit RM100 juta, berikutan peruntukan sebanyak RM550 juta itu melebihi anggaran hasil sebanyak RM450 juta pada tahun berkenaan.

Aminuddin ketika membentangkan belanjawan itu menyatakan sebanyak RM130 juta diperuntukkan bagi perbelanjaan pembangunan.

Beliau berkata, Belanjawan Negeri Sembilan itu menggariskan 64 inisiatif membabitkan sebanyak 42 inisiatif sedia ada yang dikekalkan dan ditambah baik dengan 22 inisiatif baharu yang diperkenalkan.

Katanya, ia memberi fokus kepada sembilan bidang tumpuan iaitu jaminan bekalan makanan, ekonomi rakyat, pendidikan, kebajikan, pemerkasaan komuniti, belia dan wanita, kerohanian dan agama, adat dan pelancongan serta pentadbiran.

Dalam sesi penggulungan lewat petang tadi, Aminuddin yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) menegaskan belanjawan itu dirangka secara menyeluruh dan inklusif.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 November 2022 @ 9:15 PM