Pelbagai spesis ikan sungai ditemui mati di Sungai Langgar disebabkan pencemaran bahan kimia dari kilang berhampiran Jabi. FOTO IHSAN Pembaca
Pelbagai spesis ikan sungai ditemui mati di Sungai Langgar disebabkan pencemaran bahan kimia dari kilang berhampiran Jabi. FOTO IHSAN Pembaca
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Pelbagai spesis ikan ditemui mati dan terapung di Sungai Langgar sejak kelmarin dipercayai akibat pencemaran bahan kimia.

Pengarah Jabatan Perikanan Kedah, Abdul Halim Marzuki berkata, hasil tinjauan di Jambatan Pekan Langgar, di sini, mendapati masih banyak ikan ditemui mati pada 5.30 petang tadi.

Menurutnya, antara ikan terbabit adalah ikan selat, ikan belida, kaloi dan banyak lagi.

"Setakat ini, jumlah ikan yang mati masih disiasat. Kita syak ikan berkenaan mati akibat bahan kimia, namun siasatan sedang dilakukan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Abdul Halim berkata, berdasarkan maklumat, Jabatan Alam Sekitar (JAS) sudah mengambil sampel air bermula dari kawasan Jabi, Pokok Sena sejak pagi tadi.

Katanya, siasatan awal dipercayai akibat pencemaran dari kilang di kawasan Jabi yang mengalir masuk ke dalam sungai.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Disember 2020 @ 7:36 PM