Gambar hiasan
Gambar hiasan
Norsyazwani Nasri


Kuching: Wanita yang bimbang ditahan kerana didakwa terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram kerugian RM408,928 selepas menjadi mangsa penipuan sindiket Macau Scam.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Azman Ahmad Sapri berkata, mangsa dari Padawan berusia 45 tahun dihubungi suspek yang menyamar dari syarikat penghantaran di Kuala Lumpur mengatakan terdapat bungkusan pada 15 Ogos lalu.

Menurutnya, suspek memberitahu bungkusan terbabit berupa kad pengenalan dan lima kad pengeluaran wang automatik (ATM), namun tidak boleh dihantar kepadanya lalu mangsa diminta membuat laporan polis.

"Suspek kemudian menyambungkan mangsa ke talian kononnya Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dan panggilan disambut suspek lain yang menyamar sebagai Sarjan Mohd Khairul Hasyim.

"Mangsa didakwa terbabit dalam kes pengubahan wang haram dan waran tangkapan akan dikeluarkan terhadapnya sebelum dihubungi 'Asisten Superintendan Mokhtar' bagi proses siasatan awal, beberapa hari kemudian.

"Mangsa seterusnya diminta untuk memindahkan wang simpanannya kepada juruaudit yang akan dilantik oleh pihak mahkamah bagi memastikan tiada wang haram di dalam akaun bank mangsa," katanya.

Menurutnya, mangsa yang panik memindahkan wang ke empat akaun bank menerusi tujuh kali transaksi berjumlah RM57,940 dari 23 Ogos hingga 30 Ogos lalu.

Katanya, mangsa kemudian dihubungi suspek mendakwa dari Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Cyberjaya memaklumkan cukai syarikatnya tertunggak selama 15 bulan berjumlah RM36,800.

"Mangsa kemudian diarahkan membuat pinjaman di beberapa bank berjumlah RM661,000 dan kesemua pinjaman berkenaan diluluskan sebelum wanita itu diarah memindahkannya kepada akaun beberapa juruaudit yang dilantik kononnya bagi semakan.

"Akibat terpedaya, mangsa memindahkan wang berkenaan ke akaun tujuh susjek menerusi tujuh kali transaksi berjumlah RM350,988 antara 22 September hingga 14 Oktober lalu," katanya.

Katanya, mangsa yang menyedari ditipu membuat laporan polis, semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 November 2022 @ 6:20 PM