Syaherah Mustafa


Kuala Krai: "Lebih 100 kali sehari saya ulang alik mengendalikan feri di Sungai Nal, di sini, demi membantu penduduk sekitar sini untuk keluar bekerja dan menyelesaikan urusan seharian," kata pengendali feri, Suhairi Che Yusof, 39.

Dia sudah lebih setahun menjadi pengendali feri berkata, kenderaan itu adalah satu-satunya pengangkutan utama yang menghubungkan penduduk di beberapa kampung dengan bandar Kuala Krai.

Katanya, hampir setiap hari bermula jam 7 pagi sehingga 11 malam, dia berulang alik merentas sungai seluas 250 meter membawa penumpang, serta kereta dan motosikal dari jeti Kampung Pasir Ira ke Kampung Pasir Kelang, di sini.

"Kerja saya seharian hanya merentas sungai ini, memang agak membosankan tetapi demi tanggungjawab kepada penduduk saya tidak kisah.

"Saya bekerja mengikut waktu ditetapkan selama lapan jam sehari, sama ada bermula 7 pagi sehingga 3 petang atau 11 malam.

"Biasanya, saya bertugas bersama dua lagi rakan, sebenarnya tugas saya agak berat, selain kemahiran mengendalikan feri, saya juga bertanggungjawab membawa penumpang merentas sungai ini dengan selamat," katanya ketika ditemui di jeti Kampung Pasir Ira, di sini, semalam.

Suhairi yang juga bapa kepada tiga cahaya mata berusia enam sehingga 11 tahun berkata, dia hanya 'berehat' lama apabila feri tidak dapat beroperasi terutama sepanjang musim tengkujuh kerana air sungai yang tinggi dan deras.

Katanya, situasi ini juga turut mengganggu aktiviti seharian penduduk di Kampung Kampung Pasir Kelang, Kampung Buyong Darul Hijrah, Kampung Sungai Taku, Kampung Taku Estet dan Kampung Bahagia, yang terperangkap kerana tiada jalan keluar.

SUHAIRI bertugas sebagai pengendali atau penunda feri di jeti Kampung Pasir Ira, Kuala Krai. FOTO SYAHERAH MUSTAFA
SUHAIRI bertugas sebagai pengendali atau penunda feri di jeti Kampung Pasir Ira, Kuala Krai. FOTO SYAHERAH MUSTAFA

"Selain itu, saya juga berhadapan beberapa cabaran terutama jika air deras serta perlu sentiasa berwaspada dan berhati-hati kerana feri ini bukan seperti yang biasa kita lihat di tempat lain dan mempunyai keunikan tersendiri.

"Saya cukup gembira menerima ucapan terima kasih dan senyuman daripada penumpang yang menghargai khidmat kami membawa mereka merentas sungai, terutama jika orang luar yang baru pertama kali menaiki feri ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Disember 2020 @ 9:19 PM