Hazira Ahmad Zaidi


Kuala Krai: Perkhidmatan feri milik Koperasi Kampung Pasir Kelang Berhad menjadi nadi utama kepada kira-kira 15,000 penduduk kampung untuk berulang-alik menyeberangi Sungai Kelantan ke bandar Kuala Krai.

Feri yang mampu membawa muatan enam kenderaan, motosikal serta penumpang pada satu-satu masa itu menjadi pilihan utama penduduk dari enam kampung iaitu Kampung Pasir Kelang Lama, Pasir Kelang Baru, Sungai Taku, Taku Estet, Kampung Bahagia dan Kampung Buyong Darul Hijrah.

Tinjauan Harian Metro mendapati, perkhidmatan feri menyeberangi Sungai Kelantan yang menghubungkan enam kampung berkenaan sesak sejak semalam bagi menampung kepulangan anak perantau meraikan Aidilfitri bersama keluarga selepas dua tahun berdepan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan penularan pandemik Covid-19.

Hasil tinjauan juga mendapati hampir satu kilometer kenderaan beratur panjang menunggu giliran untuk menggunakan perkhidmatan feri menyeberangi sungai berkenaan untuk berhari raya di rumah keluarga dan saudara mara masing-masing.

Bagi Mohamad Shahril Ismail, 34, dia yang tinggal di Kampung Bukit Sireh bersama rakan-rakannya menunggu feri sejak jam 12 tengah hari bagi menyeberangi sungai untuk berhari raya di rumah sepupunya yang terletak di Kampung Pasir Kelang.

"Apabila sampai di jeti, saya terkejut melihat banyak kenderaan yang sedang beratur menunggu giliran untuk menaiki feri dan disebabkan itu saya mengambil keputusan untuk meninggalkan kereta di luar dan sepupu akan mengambil kami di seberang bagi mengelakkan kesesakan.

PERKHIDMATAN feri di Pasir Klang di sini yang menjadi nadi menyeberangi Sungai Kelantan ke Kuala Krai untuk ke enam kampung kelihatan sesak berikutan kepulangan anak perantau. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
PERKHIDMATAN feri di Pasir Klang di sini yang menjadi nadi menyeberangi Sungai Kelantan ke Kuala Krai untuk ke enam kampung kelihatan sesak berikutan kepulangan anak perantau. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

"Selepas dua tahun, jeti Pengkalan Feri Kampung Pasir Kelang kembali meriah dengan kepulangan anak perantau yang menggunakan perkhidmatan feri untuk menyeberangi Sungai Kelantan memandangkan perjalanan menggunakan jalan biasa mengambil masa selama dua jam berbanding menggunakan feri yang lebih menjimatkan masa iaitu antara lima hingga 10 minit," katanya ketika ditemui di jeti jeti Pengkalan Feri Kampung Pasir Kelang, di sini, hari ini.

Bagi suri rumah, Nur Umirah Baharum, 30, berkata, dia bersama suaminya, Muhammad Syahizan Bukari, 31, serta tiga anak mereka yang menetap di Pokok Sena, Kedah pulang berhari raya di rumah keluarga mentuanya di Kampung Pasir Kelang Baru.

"Pada pagi tadi, keluarga saya yang tinggal di Ayer Lanas, Jeli datang ke sini untuk berhari raya bersama kami lima beranak dan pada masa turut menghantar lemang yang dibuat untuk diberikan kepada keluarga saya.

"Bagaimanapun, disebabkan jeti terlalu sesak selain tidak mahu mereka menunggu giliran terlalu lama untuk menaiki feri, saya meminta ahli keluarga menunggu di seberang dan kami lima beranak menyeberangi sungai untuk bertemu dengan mereka," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Koperasi Kampung Pasir Kelang Berhad, Mohammad Jaafar berkata, setiap Aidilfitri saban tahun, jeti pengkalan feri itu sentiasa sesak dan dalam sehari terpaksa berulang alik lebih 100 kali untuk menyeberangi sungai.

"Penduduk dan perantau yang pulang ke kampung lebih memilih perkhidmatan feri untuk menyeberangi sungai disebabkan masa yang diambil lebih singkat iaitu hanya lima minit dengan jarak 250 meter.

"Pada hari biasa, feri ini beroperasi dari 7 pagi hingga 11 malam, namun ketika Aidilfitri kami beroperasi sehingga lewat pagi bagi memastikan tidak ada penumpang yang terkandas atau menunggu di jeti terlalu lama.

"Tambang yang dikenakan adalah RM1 bagi setiap individu, manakala untuk kenderaan pula antara RM5 hingga RM10 bergantung kepada jenis kenderaan dan juga muatan barang yang dibawa bersama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mei 2022 @ 4:30 PM