Rafidah Mat Ruzki dan Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan (KKM) sudah menerima permohonan untuk mendaftarkan vaksin Covid-19 yang dihasilkan syarikat farmaseutikal gergasi, Pfizer pada 15 Disember lalu.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya memerlukan tempoh antara 90 hingga 120 hari untuk pakar kesihatan melihat segala dokumen membabitkan kajian vaksin berkenaan.

Beliau berkata, ada lima fasa yang perlu dilalui sebelum pendaftaran bersyarat diberikan kepada vaksin yang dibangunkan dengan kerjasama sebuah syarikat Jerman, BioNTech itu.

"Ada lima tahap yang perlu dilalui sebelum vaksin itu didaftarkan. Pada 15 Disember KKM ada menerima permohonan untuk pendaftaran vaksin Pfizer.

"KKM sedang melihat pendaftaran itu dan yang kita syaratkan ialah pendaftaran bersyarat.

"Yang KKM membuat penilaian dari segi kualiti, keselamatan serta keberkesanan produk berdasarkan kepada produk yang dimajukan.

"Dijangkakan libat urus dengan pihak syarikat akan dimulakan pada akhir bulan ini manakala NPRA sudah mengenalpasti 11 pakar perubatan dalam bidang berkaitan untuk meneliti dokumen yang diserahkan kepada kementerian," katanya pada sidang media mengenai perkembangan penularan Covid-19, di sini, hari ini.

Beliau berkata, keutamaan akan diberikan terhadap keselamatan vaksin itu serta keberkesanannya.

Katanya, langkah kedua membabitkan pembekalan dan perolehan yang dijalankan bersama dengan Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi dan Inovasi termasuk membabitkan logistik.

Selain itu, kerjasama juga dijalankan dengan kementerian lain bagi memastikan segala urusan dijalankan dengan sebaik mungkin.

"Fasa ketiga ialah keutamaan pemberian vaksin berkenaan kepada rakyat Malaysia, contohnya petugas kesihatan atau barisan hadapan dan golongan rentan.

"Yang keempat ialah pemantauan, sama ada ada kesan samping akibat penggunaan vaksin berkenaan manakala fasa kelima adalah untuk melihat keseluruhan sama ada ia mencapai sasaran ia melindungi rakyat Malaysia daripada jangkitan Covid-19," katanya.

Beliau berkata, kelima-lima langkah itu kini sudah dimulakan dan pihaknya berharap agar ia dapat dipercepatkan.

Sementara itu, ditanya mengenai sumbangan vaksin yang dibangunkan syarikat di China secara percuma oleh Kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) Dr Noor Hisham berkata, pihaknya belum menerima sebarang dokumen atau laporan ujian klinikal fasa ketiga membabitkan vaksin berkenaan.

Media sebelum ini melaporkan Kerajaan UAE berhasrat menyumbang 500,000 dos vaksin COVID-19 kepada Malaysia bagi tujuan ujian klinikal fasa ketiga di negara ini.

DR Noor Hisham ketika sidang media harian situasi terkini jangkitan Covid-19 hari ini. FOTO Luqman Hakim Zubir
DR Noor Hisham ketika sidang media harian situasi terkini jangkitan Covid-19 hari ini. FOTO Luqman Hakim Zubir

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Disember 2020 @ 8:49 PM