ANTARA Pati yang ditemui menyorok dalam semak di kawasan Kuari Baru, Pantai Kampung Tanjung Che Lahom. FOTO Ihsan 3 Divisyen.
ANTARA Pati yang ditemui menyorok dalam semak di kawasan Kuari Baru, Pantai Kampung Tanjung Che Lahom. FOTO Ihsan 3 Divisyen.
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Cubaan 13 pendatang asing tanpa izin (Pati) bersembunyi di Kuari Baru, Pantai Kampung Tanjung Che Lahom, Pengerang di Johor sebelum menyeludup masuk, gagal selepas ditahan dalam Op Benteng hari ini.

Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Divisyen) dalam kenyataan berkata, mereka dikesan susulan maklumat risikan dan intipan yang dilakukan sebaik mendapat maklumat pergerakan Pati di pesisir pantai Tanjung Penyusop hingga ke Kampung Simon, Teluk Ramunia, Kota Tinggi.

Pasukan Briged Ketujuh Infantri Malaysia mengatur gerak Tim Quick Reaction Force (Tim QRF) bersama Tim Drone dari Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) dan Pegawai Perhubungan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk mengepung kawasan berkenaan.

"Pada jam 1.40 pagi, hasil serbuan yang dilakukan, pasukan berjaya menahan 13 Pati warganegara Indonesia yang sedang bersembunyi di Kuari Baru, Pantai Kampung Tanjung Che Lahom.

"Kesemua Pati terdiri daripada sembilan lelaki dan empat perempuan berusia antara 21 hingga 47 tahun, dipercayai baru masuk ke negara ini melalui jalan yang tidak sah," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan, rampasan turut dilakukan yang berjumlah keseluruhan RM34,619.99 merangkumi wang tunai RM2,728.70, mata wang Indonesia IDR 8,286,700.00 (RM2,392.65) serta beberapa mata wang lain bersama 15 telefon bimbit, jam tangan dan barang kemas.

"Kesemua Pati ditahan dan dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang untuk menjalani pemeriksaan dan saringan Covid-19, sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia. Laporan polis telah dibuat di Balai Polis Bayu Damai.

"Pasukan meneruskan atur gerak Tim QRF dan bagi menjejak kemungkinan ada saki baki Pati di sekitar kawasan tangkapan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Disember 2020 @ 12:05 PM