PENTERNAK ikan sangkar di Sungai Jelai di Kampung Ganding berharap dalam Belanjawan 2022, kerajaan akan memberi tumpuan terhadap pemulihan ekonomi, kursusnya kepada penternak ikan air tawar secara sangkar atau kolam. FOTO Roselan Ab Malek
PENTERNAK ikan sangkar di Sungai Jelai di Kampung Ganding berharap dalam Belanjawan 2022, kerajaan akan memberi tumpuan terhadap pemulihan ekonomi, kursusnya kepada penternak ikan air tawar secara sangkar atau kolam. FOTO Roselan Ab Malek
Roselan Ab Malek

Jerantut: Pembentangan Belanjawan 2022 pada Jumaat ini diharap memberi berita gembira kepada penternak ikan air tawar di sepanjang Sungai Pahang, Tembeling dan Jelai yang terjejas teruk sepanjang pandemik Covid 19.

Ini berikutan golongan berkenaan menanggung kerugian kerana ikan yang diternak tidak dapat dipasarkan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), selain tidak mendapat permintaan kerana restoran ditutup.

Untuk rekod, berdasarkan data Jabatan Perikanan Pahang pada 2020, terdapat seramai 1,673 penternak ikan sangkar dan kolam yang kebanyakkannya menternak ikan patin dan talapia di negeri ini.

Seorang penternak ikan sangkar di Kampung Ganding, KhairulAnuar Ahmad Mahir, 32, berkata dia berharap Belanjawan 2022 memberi tumpuan untuk membantu golongan sepertinya.

Katanya, kerajaan juga diminta menyediakan hab pengeluaran benih ikan di daerah Temerloh Jerantut, Bera dan Lipis bagi menampung permintaan tinggi benih ikan dengan menawarkan harga lebih rendah.

"Sektor penternakan ikan air tawar harus diberi keutamaan dalam Belanjawan 2022 ini kerana ia menjadi sumber rezeki bagi penduduk yang tinggal berhampiran sungai.

"Pada masa sama, ia dapat menjamin bekalan ikan sebagai sumber protein berterusan sekali gus memastikan industri makanan negara tidak terlalu bergantung kepada import dalam jangka masa panjang," katanya.

Penternak ikan patin kolam di Kampung Perluk, Ulu Cheka, Mohd Amirul Alias, 42, berkata dia berharap Belanjawan 2022 akan memberi perhatian kepada perkembangan industri penternakan khususnya ikan air tawar yang terjejas teruk.

"Saya berharap kerajaan dapat memberi subsidi makanan ikan yang kini berharga RM64 setiap 20 kilogram berbanding hanya RM60 pada dua tahun lalu.

"Kos makanan yang tinggi menyebabkan ramai penternak ikan air tawar sama ada secara sangkar atau kolam rasa terbeban menyebabkan mereka tidak meneruskan usaha kerana ikan tidak dapat dipasarkan ketika pandemik Covid 19.

"Saya menanggung kerugian kerana terpaksa memberi ikan makan walaupun ia tidak dapat dipasarkan kerana kebanyakan ikan sudah mencapai saiz lebih dua kilogram yang tidak lagi memenuhi kehendak pasaran kerana terlalu besar," katanya.

Katanya, dia turut berharap kerajaan dapat melatih ramai belia dalam bidang industri hiliran bagi menampung lebihan ikan yang tidak dapat dipasarkan seperti yang berlaku, baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Oktober 2021 @ 5:05 PM